KEMBALI dimasukkan ke dalam kalendar Persekutuan Besbol Asia (BFA), pasukan besbol negara bakal sibuk tahun ini dengan jadual padat selepas kedua-dua skuad lelaki dan wanita akan kembali bersaing buat kali pertama pada kejohanan BFA selepas 12 tahun tercicir.
Pasukan lelaki bakal mengharungi saingan Piala Asia Timur di Bangkok, Thailand dari 27 April hingga 5 Mei ini manakala skuad wanita pula, bakal mengharungi kelayakan Piala Asia di Hong Kong dari 19 hingga 24 Mei ini.
Piala Asia di Hong Kong adalah satu-satunya pentas buat pasukan negara untuk layak ke Piala Dunia yang dijadual berlangsung di Kanada pada Ogos ini.
“Skuad besbol lelaki dan wanita agak sibuk pada tahun ini. Ia juga satu detik bersejarah selepas kami dikeluarkan daripada kalendar BFA. Ini kali pertama kita kembali beraksi dalam kalendar BFA dan bermain dalam kalendar mereka secara rasminya.
“Selepas 12 tahun kami dikeluarkan, ini adalah penampilan pertama buat kami,” kata Presiden BFM, Sazali Husain, selepas program menyantuni anak yatim bersama Aeon Big M Sdn Bhd, di Ampang.
“Walaupun kita muka baharu selepas kembali ke persada antarabangsa, bagi pasukan lelaki kita sasarkan untuk berada dalam kelompok empat terbaik. Apabila kita melihat kepada jadual perlawanan, kita berada dalam kumpulan yang amat baik untuk membuktikan sesuatu.
“Untuk pasukan wanita pula, kita tak pernah berganjak daripada sasaran asal iaitu layak ke Kejohanan Dunia buat kali pertama. Atlet kita memang teruja dan berdisiplin selepas 12 tahun tidak menyertai perlawanan antarabangsa dan ini kali pertama. Sudah tentunya mereka akan melakukan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, seramai 50 anak yatim dari Darul Kifayah MAIWP dan Al Firdaus, Shah Alam diraikan BFM bersama Aeon Big sebagai persiapan awal mereka menyambut Syawal.
“Pagi ini, kita amat bersyukur kerana buat kali pertamanya selepas 25 tahun penubuhan BFM, kita dapat memberikan sedikit kembali kepada masyarakat. Saya cukup berbangga dengan atlet besbol negara yang sanggup mengumpul dana dan menyantuni anak yatim hari ini,” kata Sazali.