FOTO : KDA FC
JARINGAN pertama menerusi Akmal Md Zahir ketika menumpaskan Kuching City FC tempoh hari benar-benar mengejutkan pemilik majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar seolah-olah tidak percaya adakah betul ada jaringan di Alor Setar memandangnya beliau baru dapat menonton perlawanan itu di rumah setelah sampai dari KLIA.
“Pengulas perlawanan KDA FC dengan Kuching City FC terkejut dengan jaringan laju Akmal yang tak disangka ini.
“Peminat dan penyokong di Stadium Darul Aman pun terkejut. Mereka macam tak perasaan bola ini masuk jaring.
“Saya yang menonton perlawanan ini di rumah setelah sampai dari KLIA pun terkejut besar. Betul ke ada jaringan?,” katanya tertarik dengan reaksi Amirbek Juraboev.
Ketika jaringan terhasil dari jarak jauh, Amirbek meletakkan kedua-dua tangannya di belakang kepalanya tanda hairan dan terkejut sebaik saja bola melencong masuk di penjuru gol.
“Bola sebenarnya terbang laju di hadapan sepasang matanya. Dia mungkin tidak menjangka bola sepakan laju Akmal akan masuk gol apatah lagi dengan penuh bergaya.
“Bila mana semua pemain meraikan jaringan gol hebat ini bersama pasukan kejurulatihan di sebelah padang, sekali lagi Amirbek mengangkat kedua-dua tangannya atas kepala. Dia masih terkejut.
ARTIKEL BERKAITAN : ‘Team Nafuzi’ mudah benam Kuching City di Alor Setar
“Sebagai seorang yang ramai kawan di Asia Tengah, saya amat faham erti dan makna meletakkan kedua-dua tangan di belakang kepala selepas berlaku sesuatu insiden yang jarang berlaku.
“Akmal juga terkejut dengan jaringannya sendiri. Dalam sidang media selepas perlawanan, dia juga menzahirkan rasa terkejut,” katanya lagi.
Ujarnya, Sang Kenari berhak menikmati detik manis ini dan menyifatkan itu antara jaringan hebat dalam liga tempatan.
“Tahniah Akmal. Tahniah Sang Kenari. Tahniah penyokong dan peminat Sang Kenari. Kita sudah ada sebuah jaringan dalam liga kita yang indah dan mempersonakan.
“Percaya. Latihan. Lakukan,” katanya.