PEMILIK Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi penjelasan bahawa rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) perlu lebih masa kerana akar belum kuat.

Tunku Ismail membuat kenyataan demikian di Twitter rasmi miliknya selepas perlawanan Malaysia bertemu India dalam aksi Pestabola Merdeka Jumaat malam.

Apa yang lebih menjadi tumpuan pada aksi tersebut, keadaan rumput yang tercabut dan kelihatan pemain-pemain serta pengadil terpaksa ‘memperkemaskan’ semula kedudukan rumput itu.

Menurut Tunku Ismail, produk (rumput) sudah terbukti, tetapi kena jaga betul-betul.

“Tiada beza. Rumput sama, kontraktor sama. Beza dia di SBNJ tak ada TMJ di situ. Itu aja,” tulisnya.


Malah Tunku Ismail turut menawarkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya ingin menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

“@FAM_Malaysia kalau nak Pakai SSI cakap, saya siapkan.”

Tambah Tunku Ismail: “Pada majlis penyerahan padang (Khamis) saya cakap kepada semua yang padang ni perlukan masa kerana akar dia belum kuat.

“Saya juga sampaikan kepada semua yang berada di situ yang padang tersebut akan terkopak esok (Jumaat) semasa perlawanan.”

Sebagai rekod, pada aksi tersebut menyaksikan Malaysia berjaya menewaskan India dengan kemenangan 4-2 sekaligus layak ke final.