PERSEKUTUAN Besbol Malaysia (BFM) menerima suntikan moral selepas pengeluar peralatan sukan dari Korea Selatan, Skyline Sports Inc menaja bola besbol yang akan digunakan sepanjang Liga Besbol Kebangsaan (NBL) 2023

Turut dipersetujui adalah penajaan strategik selama 10 tahun, bantuan teknikal dan rangkaian kerjasama dari Korea Selatan ke BFM.

Presiden BFM, Sazali Husain memaklumkan kerjasama ini amatlah bermakna bagi BFM yang  mendapat bantuan profesional dari badan-badan besbol utama dari negara gergasi besbol seperti Korea Selatan.

“Satu lagi detik bersejarah buat besbol Malaysia. BFM amat teruja apabila buat julung kalinya membentuk kerjasama strategik bersaman syarikat bola besbol gergasi antarabangsa Skyline Sports Inc.

Sazali (dua,kanan) bersama Theekshana Gammanpila, (kanan) dan Lah Je-hoon memperkenalkan bola yang bakal digunakan.

“Kini kita sudah ada logo sendiri di setiap bola yang akan digunakan untuk liga kebangsaan NBL 2023 dan juga untuk latihan pasukan negara.

“Melalui kerjasama ini, pemain-pemain besbol tempatan juga berpeluang menggunakan bola yang berkualiti tinggi setaraf kejohanan antarabangsa,” katanya pada majlis tandatangan persefahaman antara BFM  dan Skyline Sports Inc ini di pejabat BFM di Denai Alam Shah Alam, Jumaat.

Skyline diwakili oleh Pengerusinya, Lah Je-hoon dengan disaksikan wakil Skyline Sports Inc dari Sri Lanka, Theekshana Gammanpila dan Ahmad Yuzairy Mohamad, Naib Presiden BFM

Bola berkenaan akan menampilkan logo BFM serta juga logo liga iaitu NBL2023 dan ini adalah julung kalinya penajaan pertama syarikat gergasi dari Korea Selatan itu di Malaysia khususnya dalam liga besbol tempatan.

Bola berkenaan akan digunakan bukan sahaja semasa pertandingan tetapi juga semasa sesi latihan pasukan negara.

Sebelum ini NBL2023 telah mendapat penajaan daripada syarikat tempatan Aeon Big (M) Sdn Bhd dan Bubbles02 Sdn Bhd sebagai penaja utama.