ENGGAN terburu-buru mengeluarkan sebarang komentar mengenai prestasi Brad Maloney di Tashkent, Uzbekistan, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin hanya akan memberi jawapan sebaik berakhirnya kempen Piala AFC B-23 bertemu Vietnam dalam aksi terakhir kumpulan.

Ketika diasak oleh pihak media status terkini Maloney, Hamidin kekal tenang sambil mengulangi menunggu laporan daripada jurulatih asal Australia sebaik tiba di tanah air.

“Pendapat saya mereka ada satu game lagi di Tashkent. Biarkan mereka habiskan perlawanan (lawan Vietnam) dan bila kita dapat laporan daripada dia nanti baru saya akan buat keputusan.

“Saya percaya mereka cuba tunjukkan sesuatu untuk memungut sekurang-kurangnya satu mata walaupun dah tak layak ke suku akhir.

“Sudah tentu peminat kecewa. Saya paling kecewa dan kita akan buat tindakan sewajarnya demi untuk bola sepak negara,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Skuad Malaysia B-23 gagal raih sebarang mata kempen di Tashkent, Uzbekistan selepas dua perlawanan.

Beliau diminta mengulas laporan tempatan Maloney akan terus mengemudi skuad berkenaan menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 selagi khidmatnya diperlukan.

Ini selepas prestasi hambar skuad berkenaan yang tersingkir daripada kejohanan di Tashkent, setelah tewas dalam dua perlawanan Kumpulan C menentang Korea Selatan dan Thailand.

“Tidak adil untuk saya memberi komen sekarang,” ujarnya lagi.

Malaysia juga berada pada tangga terbawah saingan kumpulan dan miliki rekod bolos tujuh gol.