PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio memberikan jaminan bahawa pasukannya akan menjadi lebih baik pada setiap perlawanan selepas membelasah Kuala Lumpur City FC 5-1 dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Bidoglio juga turut memuji persembahan anak-anak buahnya selepas bekerja keras ketika latihan dan dapat menterjemahkan segalanya di atas padang untuk membentuk skuad ‘excellent’ JDT.
Jurulatih asal Venezuela itu juga gembira kerana mereka bermain dengan lebih sabar dan berjaya memperbaiki situasi ‘set piece’ yang berjaya menghasilkan jaringan berbanding ketika perlawanan pertama minggu lalu.
“Pemain berikan aksi yang baik. Sejak dari awal mereka menguasai permainan dan lebih sabar dalam mengawal bola dan saya berpuas hati dengan persembahan ini.
“Saya jamin skuad ini akan menjadi lebih baik pada setiap perlawanan kerana pemain bekerja keras dalam latihan dan ini akan berikan skuad ‘excellent’ JDT selain kami berjaya memperbaiki situasi set pieces dan saya tahu pemain mahukan lebih lagi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Ditanya di tahap manakah skuad JDT berada ketika ini untuk mencapai tahap ‘excellent’, Bidoglio menyatakan mereka masih jauh dari sasaran dan perlu sentiasa lebih baik pada setiap masa.
“Kami masih di tahap 50 peratus kerana saya sentiasa mahukan lebih lagi kerana dalam bola sepak anda perlu sentiasa lebih baik dan pemain juga faham dan tahu tentang keadaan ini,” jelasnya.
Dua jaringan masing-masing dari Fernando Forestieri dan Juan Muniz serta satu dari Syahmi Safari melengkapkan kemenangan besar JDT di hadapan hampir 5,000 penyokong di stadium untuk Harimau Selatan unggul dengan sembilan mata selepas tiga perlawanan.