PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui bukan mudah untuk bertemu lawan yang berkualiti seperti Gwangju FC namun dia gembira dengan corak permainan yang ditampilkan anak-anak buahnya meskipun tewas 1-3 dalam perlawanan ketiga Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25.

Dalam aksi di Stadium Yongin Mireu, dua jaringan Jasir Asani dan gol sendiri Park Jun-heong menyaksikan Harimau Selatan tewas buat kali pertama musim ini namun pada Bidoglio ianya bukanlah penamat tetapi sebagai tanda untuk mereka bekerja lebih keras.

“Ianya perlawanan yang sukar tetapi saya suka dengan persembahan pemain saya. Pasukan lawan berjaya mendapatkan gol awal tetapi kami tidak hilang fokus dan mengekalkan penguasaan bola.

“Pada pendapat saya, keputusan babak pertama tidak menggambarkan keseluruhan permainan.

“Pada babak kedua, kami menggerakkan bola dari kiri ke kanan namun sukar menembusi benteng lawan tetapi saya gembira dengan persembahan mereka dan kami perlu terus berkembang untuk beraksi di peringkat tertinggi Asia ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pengendali kelahiran Argentina itu juga tidak mahu menyalahkan individu yang dilihat menyebabkan JDT ketinggalan dua gol seawal enam minit permainan sebaliknya menganggap itu adalah sebahagian daripada asam garam bola sepak.

“Kami mahu fokus dalam taktikal tetapi inilah bola sepak apabila anda melakukan kesilapan, lawan menghukum dengan dua gol tetapi saya katakan sekali lagi kami tidak hilang fokus dan mengekalkan falsafah bola sepak kami.

“Ini adalah Liga Juara-Juara dengan semua lawan adalah sukar dan kami perlu berkerja lebih keras selepas ini dan kami mempunyai skuad yang bagus untuk terus mencabar,” jelasnya.

Feroz Baharudin menjadi tumpuan para penyokong apabila dua gol lawan dilihat berpunca dari kesilapannya namun dia juga berjaya menebus kesilapan itu dengan menjaringkan gol pertama JDT yang juga gol pertamanya di Liga Juara-Juara AFC Elite.

Selepas berakhir tiga perlawanan, JDT kini mencatat satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan untuk menduduki tempat keempat Zon Timur dengan empat mata manakala Gwangju melebarkan kelebihan di tangga teratas dengan sembilan mata.