PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mahu anak-anak buahnya menunjukkan aksi seperti kebiasaan meskipun terpaksa bermain dua perlawanan berturut-turut pada sebelah petang apabila turun menentang Kuala Lumpur City FC di Cheras.
Hector juga tidak mahu para pemain terganggu dengan keadaan cuaca sebaliknya mahu semua pemain tampil bertenaga walaupun beraksi di laman lawan dalam aksi yang dijangkakan sukar.
“Walaupun bermain di tempat lawan dan pada sebelah petang, JDT perlu tunjukkan corak permainan yang sama tidak kira sama ada di tempat sendiri mahupun tempat lawan. Ianya satu perlawanan yang sukar dan kami perlu berani, dinamik dan agresif untuk mencipta kemenangan.
“Kami akan hadir dengan semangat ingin menang, mengawal perlawanan dan sentiasa bertambah baik sepanjang 90 minit permainan serta tidak mengulangi kesilapan pada perlawanan pertama,” katanya menjelang pertemuan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Sabtu.
Jurulatih asal Venezuela itu juga gembira kerana dia mempunyai ‘squad depth’ yang baik dan dia bebas untuk memilih kesebelasan terbaik sambil melakukan penggiliran pemain tanpa mengganggu ritma pasukan untuk mencari tiga mata.
“Kami juga menggilirkan pemain kerana kesemua pemain dalam skuad ini sangat baik dan ianya menjadikan saya mempunyai banyak pilihan untuk memilih kesebelasan terbaik dalam usaha mencari kemenangan dalam perlawanan ini,” jelasnya.
JDT dilihat sedikit bergelut ketika menewaskan Negeri Sembilan pada aksi pembukaan namun Hector dan barisan kejurulatihannya pastinya sudah menjumpai formula terbaik untuk Harimau Selatan kembali mengaum dan menjadikan KL City sebagai mangsa seterusnya.