PENGENDALI baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio secara rasmi memulakan sesi latihan bersama skuad utama Harimau Selatan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam.

Bidoglio yang diumumkan sebagai pengganti Benjamin Mora tidak menunggu lama untuk bersama-sama pasukan bagi menghadapi aksi bertemu Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Ibrahim, pada Isnin.

Walaupun berlatih dalam keadaan hujan namun para pemain dilihat bersemangat untuk membuktikan kelebihan masing-masing kepada jurulatih baharu yang juga bekas pemain antarabangsa Venezuela itu.

 

Selepas lima perlawanan berturut-turut di tempat lawan, Harimau Selatan kembali ke Iskandar Puteri dan pastinya penyokong JDT mahu menyaksikan buah tangan terbaharu dari Bidoglio.

Pengendali berusia 54 tahun itu mempunyai tugas yang berat bagi meneruskan legasi yang ditinggalkan Mora dengan JDT masih lagi belum tewas dalam saingan liga musim ini dan layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL).