DALAM era digital yang semakin berkembang pesat, sukan bukan sahaja menjadi medan persaingan di atas padang, tetapi juga di dunia maya.

Walaupun media sosial membuka peluang kepada peminat untuk berinteraksi dengan atlet dan mengikuti perkembangan terkini secara langsung, ia juga menjadi platform yang sering disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat tidak tepat dan fitnah.

Apabila jari jemari lebih laju dari otak untuk berfikir,maka terbitlah ayat kebodohan yang jelas. Budaya fitnah di media sosial bukanlah fenomena baru, tetapi kesannya semakin dirasai dalam dunia sukan. Atlet dan pasukan sering menjadi mangsa kepada berita palsu yang direka untuk menimbulkan sensasi.

Fitnah seperti ini bukan sahaja merosakkan imej individu dan pasukan, tetapi juga boleh menjejaskan moral dan prestasi mereka.

Memang betul, menulis tanpa profesionalisme, sama ada maklumat itu betul atau tidak, bukanlah tiket yang sesuai untuk menulis sesuka hati. Setiap penulis, terutamanya di media sosial dan platform awam lain, perlu menjaga etika dan tanggungjawab dalam penulisan mereka.

Netizen pula sering kali terpengaruh dengan berita yang tersebar di media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat tersebut. Ketidaktelitian ini menyebabkan penyebaran maklumat palsu berlaku dengan cepat dan meluas.

Netizen yang tidak bertanggungjawab akan terus menyebarkan fitnah tanpa memikirkan kesan dan akibatnya terhadap individu yang difitnah.

Ramai pengguna media sosial menulis dan menyebarkan maklumat tanpa berfikir panjang tentang kesan dan akibatnya. Sikap ini melanggar norma-norma masyarakat yang mementingkan kejujuran, integriti, dan tanggungjawab.

Adalah penting untuk setiap pengguna media sosial menyedari tanggungjawab mereka dalam memastikan maklumat yang disebarkan adalah benar dan sahih.

Pengguna media sosial perlu lebih bertanggungjawab dalam penulisan dan penyebaran maklumat, manakala pihak berkuasa dan platform media sosial perlu mengambil langkah-langkah yang lebih tegas untuk membendung masalah ini.

Hanya dengan kerjasama semua pihak, kita dapat memastikan dunia sukan yang lebih bersih dan adil, serta mengekalkan norma-norma masyarakat yang murni.

Jangan lebih sudu daripada kuah !