PENCAPAIAN beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diberi markah 7/10 oleh jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen sebagai penilaian prestrasi di Terbuka Malaysia 2024.

Tersingkir di suku akhir selepas tewas di tangan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-18, 18-21 13-21 pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, semalam, menjadi petanda baik buat pasangan negara yang berada di ranking keempat dunia itu.

Menurut Bin Shen, pemain kendaliannya itu masih melakukan kesilapan kecil terutama pada set ketiga yang memberi kelebihan kepada pemain lawan untuk menyekat hasrat mereka ke separuh akhir.

Juara Dunia 2023, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea sekat kemaraan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Bagi saya, Aaron-Wooi Yik sebenarnya mampu bermain dengan lebih baik lagi dalam perlawanan ini.

“Detik yang paling penting adalah ketika keputusan 11-10 (ketinggalan di set ketiga) itu sangat penting.

“Ini kerana, sebaik sahaja mereka lakukan kesilapan kecil, ia akan menyebabkan lawan semakin yakin. Jadi, perkara ini yang perlu diberikan perhatian dan diperbaiki lagi,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan kemarau kejuaraan Malaysia di laman sendiri berterusan selepas kali terakhir bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei muncul juara pada edisi 2018.

Mungkinkah pertemuan sesama sendiri pada pusingan kedua, menentang Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjejaskan rentak Aaron Chia-Soh Wooi Yik di suku akhir?

Dalam pada itu, Bin Shen tetap optimis Aaron-Wooi Yik kekal di landasan tepat dalam misi mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 di sebalik kekalahan berkenaan.

Bekas juara dunia itu ketika ini berada di kedudukan keempat Race to Paris dengan mengumpul 83,854 mata.

Aaron-Wooi Yik selepas ini akan beraksi dalam kejohanan kedua mereka musim ini pada saingan Terbuka India di New Delhi yang dijadual bermula Selasa.

Mereka akan berdepan pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito pada aksi pusingan pertama.