FIRMA berpangkalan di Dubai, Bin Zayed International LLC (BZI) menjadi penaja utama Kedah Darul Aman (KDA FC) bagi musim 2023.

Sebelum ini, desas-desus kalangan peminat Sang Kenari mula mengharap dan berspekulasi adakah jutawan dari negara Arab yang bakal menjadi penaja utama skuad Hijau Kuning.

Malah, pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar terus gigih mencari formula terbaik buat pasukan bola sepak negeri itu apabila mengadakan pertemuan dengan Penaja Utama Kedah FC di Dubai, Emiriah Arab Bersatu bulan lepas.

Semuanya ternoktah apabila beliau telah mengumumkan bahawa syarikat Bin Zayed International kini secara sah menjalinkan kerjasama bersama pasukan Kedah untuk musim 2023.

“Selamat Datang kepada penaja utama Sang Kenari musim 2023, Bin Zayed International LLC,” menurut kenyataan KDA FC pada Sabtu malam.

ARTIKEL BERKAITAN : Bakal penaja utama tanya pemilik KDA FC.. “Bolehkah Kedah menjadi juara tahun ini” ?

BZI merupakan sebahagian daripada Bin Zayed Group, sebuah konglomerat berpangkalan di Dubai yang mempunyai kepakaran dalam pembinaan dan tenaga, dagangan dan industri, hartanah, teknologi dan perkhidmatan kewangan.

Ia dimiliki oleh Sheikh Khaled Zayed Al Nahyan yang juga kerabat diraja Abu Dhabi.

Pada Mac tahun lepas, BZI menerusi usaha samanya dengan Widad Business Group Sdn Bhd (Widad), menyasarkan untuk membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM100 bilion ke Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Sheikh Midhat Kidwai berkata, FDI tersebut akan diperoleh secara berperingkat yang bermula dengan projek pembangunan ‘The Langkasuka’ bernilai RM40 bilion di Langkawi.