WAKIL Amer Warrior MuayThai dari Besut, Terengganu, Nasreen Aidid, mencatatkan satu pencapaian cemerlang apabila menjuarai Kejohanan Move On MuayThai Challenge Selangor Open 2024 bagi kategori 55 kg.

Pertarungan yang berlangsung di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam, pada Sabtu malan itu menyaksikan Nasreen mengharungi cabaran getir demi meraih gelaran juara.

Dengan penuh kesyukuran, Nasreen meluahkan perasaannya atas kejayaan yang diperolehnya.

“Perasaan saya bersyukur setelah memenangi kejohanan untuk kali ini,” katanya kepada Flash Sukan.

Wan Asrul (kanan) sentiasa memberikan sokongan kepada anak saudaranya sepanjang perlawanan berlangsung

Nasreen turut menyatakan bahawa kejayaan tersebut adalah hasil usaha dan ketekunan, meskipun berdepan pelbagai cabaran untuk beraksi pada malam pertandingan. 

“Kemenangan ini bukanlah yang saya jangkakan, saya ada menghadapi banyak cabaran lain untuk saya bertanding malam ini kerana bukan senang untuk saya berada di tahap ini hari ini.

“Jurulatih saya dan ayah saudara saya sendiri antara yang banyak memberi inspirasi dan sokongan kepada saya dalam setiap kejohanan yang saya pergi, mereka menjadi semangat untuk saya juga hari ini,” ujarnya lagi.

Nasreen juga memenangi kejohanan muaythai PMDK FIGHT 3.0 di Kuantan, bulan lalu.

Bagi langkah seterusnya, Nasreen berkongsi bahawa dia kini memfokuskan kepada pertandingan antarabangsa yang akan berlangsung pada bulan November ini.

“Target saya selepas ini Insyaallah saya akan berlawan di Thailand dalam Kejohanan International Ko Samui,” katanya, sambil menaruh harapan tinggi untuk mengharumkan nama negara.