ATLET akuatik berbakat dari Kuala Lumpur, Tan Khai Xin, yang telah mencipta nama sebagai pemegang rekod kebangsaan dalam acara 400m rampaian individu lelaki berkongsi kisah perjalanan kariernya.
Khai Xin atau lebih mesra dengan panggilan Jayden, berusia 20 tahun, kini seorang pelajar di International Medical University (IMU) dalam perjalanan mengambil jurusan pergigian, telah mula menceburi bidang renang sejak usia lima tahun dengan dorongan ibu bapa sebagai kemahiran dalam hidup.
“Ibu dan ayah saya pada awalnya mahu saya belajar berenang sebagai kemahiran asas. Namun, dengan sokongan jurulatih, saya mula menunjukkan bakat bersaing dan semakin serius dalam sukan ini,” kongsi jayden dalam temubual eksklusif bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
Pada Sukma Sarawak 2024, Jayden berjaya merangkul pingat emas bagi acara 400 meter rampaian individu lelaki dalam penampilan keduanya di temasya ini selepas penyertaan pertamanya di Kuala Lumpur.
“Sukma di Sarawak adalah pengalaman yang baik bagi saya, kali pertama saya sertai di KL dan untuk kali kedua ini saya dapat rasa pengalaman yang berbeza.
“Terutama sebagai salah seorang yang tertua dalam pasukan rasanya begitu memotivasi untuk memimpin pasukan KL menuju kejayaan,” katanya.
Pada Kejohanan Asean University Games 2024 di Surabaya, Jayden telah berjaya menyumbang tiga pingat emas untuk negara.
Antara kejayaan terbesar dalam kariernya adalah meraih gangsa di Sukan SEA Kemboja dan mencipta rekod kebangsaan baru, yang disifatkan Jayden sebagai kenangan paling manis dalam hidupnya.
Namun, perjalanan ke puncak tidak selalu lancar, dua hari sebelum kemenangan tersebut, Jayden mengalami detik sukar apabila pasukannya terpaksa akur di tempat ketiga dalam acara 4x200m relay.
“Kenangan manis saya apabila menang gangsa di sukan SEA Kemboja dan mencipta rekod kebangsaan baru, i think that one very sweetest.
“Tetapi dua hari sebelum itu, saya rasa sangat bersalah kerana saya adalah perenang terakhir dan gagal mengekalkan kedudukan pertama. Ia benar-benar menguji semangat saya,” katanya lagi.
Selain itu, acara kegemaran Jayden adalah 400m rampaian individu, acara yang mencabar perenang dalam setiap gaya renangan seperti butterfly, backstroke, breaststroke, dan freestyle.
“Acara kegemaran saya sudah pasti 400m rampaian individu. Rampaian individu adalah acara renang yang mewakili semua gerak,” tambahnya.
Menjelang penghujung bulan Oktober, Jayden akan bertanding di Piala Dunia Singapura dalam acara 400m rampaian individu, 200m rampaian individu, dan 400m gaya bebas.
“Saya sasarkan untuk mencatat rekod peribadi terbaik, dan mungkin sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan,” jelas Jayden.
Sebelum mengakhiri perbualan, Jayden sempat menasihatkan agar atlet muda yang ingin menceburi bidang sukan ini agar mengambil langkah perlahan-lahan supaya tidak cepat mengalami keletihan atau burnout.
“Lebih baik untuk tidak terlalu mendesak diri dalam latihan. Ambil langkah perlahan-lahan dan tidak perlu terlalu memaksa sehingga mengalami keletihan. Jadi, bersabar dan kejar prestasi pada masa yang tepat.”