RiCHMOND Boakye menjadi pemain yang membolosi gawang Kelantan FC buat kali ke-100 musim ini selepas menyumbat gol kelima Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada Jumaat.

Sejak memulakan kempen Liga Malaysia pada Februari, Kelantan sudah dibolosi 81 gol dalam saingan Liga Super, empat dalam Piala FA dan 15 dalam kejohanan Piala Malaysia yang mana barisan Alfredo Vera kini mencipta rekod pasukan paling banyak dibolosi dalam sejarah Liga Malaysia.

Gol itu juga adalah jumlah bolos ke-23 buat Kelantan FC dalam tiga perlawanan terakhir dengan sebelum ini dibelasah 0-8 oleh Terengganu dalam aksi Liga Super dan 0-10 oleh Johor Darul Ta’zim dalam saingan Piala Malaysia.

Ini adalah rekod terburuk yang pernah dicatatkan oleh mana-mana pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia dan apa yang membimbangkan, masih berbaki lima perlawanan untuk diharungi oleh pasukan Kelantan dan angka ini mungkin akan lebih bertambah.