XOX Pro Sport Sdn Bhd, anak syarikat XOX Berhad hari ini mengumumkan pelantikan Bobie Farid Shamsudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Kelab Bola Sepak Perak berkuatkuasa serta merta.
Pelantikan ini akan menyokong perjuangan Perak FC untuk keluar dari zon penyingkiran dalam musim Liga Premier yang berbaki sembilan perlawanan.
Bobie yang juga CEO One XOX Sdn Bhd dan Prinsipal Pasukan The Komanz Kru Racing Team (TKKR) akan dibantu oleh Mohd Badrol Izman Osman, yang akan berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sementara kelab.
“Perak FC berharap dapat merebut peluang jendela perpindahan untuk mendaftar serta menandatangani pemain baharu ke kelab ini dalam usaha membantu memperkasa skuad baharu.
“Kelab bola sepak tertua di Malaysia ini sedang giat berusaha untuk menandatangani sekurang-kurangnya 14 pemain ke dalam skuad sekarang, selepas dikenakan larangan perpindahan oleh FIFA kerana tidak dapat menjelaskan tunggakan gaji para pemain pada Februari 2022.
“Ia kemudian diikuti dengan pemotongan sembilan mata oleh First Instance Body (FIB) pada April 2022,” jelas kenyataan media yang dikeluarkan oleh pemilik Perak FC, XOX Berhad pada Selasa.
Pengambilan Perak FC oleh XOX mendapat liputan yang meluas kerana isu gaji para pekerja dan hutang tertunggak yang dihadapi sebelum ini.
“Perak FC ingin kembali beraksi di peringkat tertinggi kejohanan. Pasukan ini perlu memenangi perlawanan seterusnya untuk mengembalikan jumlah mata mereka ke paras sifar,” katanya lagi.
The Bos Gaurus akan menentang Kelantan United Fc dalam perlawanan seterusnya di tempat lawan pada 25 Jun 2022 dengan skuad penuhnya.