SEORANG penyokong setia Harimau Malaya yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberikan sokongan kepada skuad bimbingan Pau Marti Vicente menganggap tindakan segelintir penyokong dan ultras adalah satu keputusan yang mengikut emosi.

Shah Reza Azman yang hadir bersama rakan-rakan berpendapat tindakan ini bukan sahaja merugikan tetapi memberikan kesan psikologi buat para pemain yang sudah berlatih bersungguh-sungguh demi penyokong tetapi hanya bermain di dalam stadium yang kosong.

Dia tidak mahu mengikut tindakan beremosi ini kerana dia sedar Malaysia memerlukan sokongan dan sebagai penyokong sejati dia perlu berada di belakang pasukan tidak kira sama ada ketika menang mahupun kalah.

Stadium Nasional sunyi tanpa kehadiran pemain ke-12 Harimau Malaya

“Saya berpandangan tindakan memboikot pertandingan Pestabola Merdeka ini adalah bersifat terlalu emosional. Kita tidak boleh menyokong apabila menang dan mencemuh bila sesuatu keputusan tidak berpihak pada kita.

“Penyokong juga perlu ada sikap professional dan tidak perlulah kita memboikot pasukan kebangsaan hanya kerana kita mempunyai pandangan yang berbeza dengan perkara yang berlaku di luar padang.

“Sebagai rakyat Malaysia dan penyokong setia Harimau Malaya, kita memainkan peranan untuk memberikan sokongan moral pada pasukan kerana kehadiran penyokong ke stadium sangat penting untuk tingkatkan moral serta psikologi pemain,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Stadium Nasional.

Skuad Harimau Malaya menjadi mangsa emosi para penyokong yang memboikot kejohanan Pestabola Merdeka 

Dia juga yakin Harimau Malaya mampu mencipta kemenangan ketika menentang Filipina kerana skuad yang ada ketika ini adalah yang terbaik dan ini adalah peluang terbaik untuk menambah mata dalam ranking Fifa.

“Pemain-pemain pasukan Harimau Malaya kali ini dipilih secara seimbang dari yang terbaik dari kelab-kelab yang berbeza dan untuk perlawanan pertama lawan Filipina, Malaysia sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk ke final.

“Jadi ada harapan untuk Malaysia menjadi Juara Pestabola Merdeka kali ini jika mereka terus fokus dan bermain sebagai satu pasukan yang baik,” jelasnya.

Walaupun membawa semangat yang tinggi ke Bukit Jalil, Shah Reza ada sedikit terkilan apabila melihat keadaan sekitar stadium yang sunyi tidak seperti perlawanan Harimau Malaya sebelum ini.