PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak terpaksa menerima hakikat selepas misi untuk menidakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara tidak kesampaian apabila tumpas 0-2 dalam aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Namun begitu pengendali kelahiran Croatia itu berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan para pemainnya kerana mampu membuat Harimau Selatan bergelut untuk meraih kemenangan dengan mengaplikasi taktikal yang diarahkan.

“Kami beraksi dengan baik sepanjang 70 minit perlawanan dan mengikut perancangan taktikal yang dibuat malah untuk tewaskan JDT kami perlu ada corak permainan yang baik dan aksi babak pertama tampak baik apabila kami memperoleh dua peluang menjaringkan gol.

“Kita ada satu peluang pada babak pertama perlawanan selepas bola rembatan Marko, tapi saya tak tahu bagaimana Syihan dapat selamatkannya selain peluang Saravanan hampir mencipta gol.

“Tetapi apabila Hong Wan menjaringkan gol ianya menyentap semangat juang pemain kami disusuli pula gol Velazquez jelas meruntuh semangat kami,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Hodak menegaskan bahawa skuad Harimau Selatan mempunyai kualiti yang sangat baik dan barisan pemain KL City hampir beraksi sempurna dalam perlawanan itu tetapi Hodak menganggap nasib tidak menyebelahi mereka.

“Apapun saya bangga dengan pencapaian KL City selepas layak ke pentas final selama tiga tahun apabila 30 tahun lalu pasukan ini tidak pernah layak dalam pentas final malah kami sebuah pasukan yang bajet rendah masih mampu buat kejutan, ia cukup membanggakan.”