JURULATIH Persib Bandung Bojan Hodak memberikan pandangannya selepas berjaya membawa pasukannya bergelar juara Liga 1 2023/2024.
Persib mengesahkan kejuaraan Liga 1 musim ini selepas menundukkan Madura United 3-1 pada aksi kedua Siri Kejuaraan di Stadium Gelora Bangkalan, Jawa Timur pada Jumaat.
Gol kemenangan Persib dijaringkan oleh David Da Silva (60′), Marc Klok (86′) dan Beckham Putra (90+2′). Sementara itu, gol saguhati Madura United dicipta oleh Slamet Nurcahoyono pada minit ke-90+6.
Keputusan ini memastikan Persib muncul juara dengan kemenangan agregat 6-1 ke atas Madura United dalam perlawanan akhir Liga 1.
Selepas perlawanan itu, Bojan Hodak mengakui dia tidak mempunyai resipi istimewa untuk melonjakkan prestasi Persib daripada tangga tercorot hingga bergelar juara.
Wilujeng! ✨
Selamat kepada Persib Bandung yang berhasil menjadi juara Liga 1 2023/2024. 🥇🏆#KitaGaruda pic.twitter.com/mJ1IKSRDJk
— PSSI (@PSSI) May 31, 2024
“Sejujurnya, saya tidak tahu.
“Saya melakukan sesuatu yang biasa saya lakukan di kelab dan pemain saya memberikan reaksi yang baik dan akhirnya anda melihat pasukan ini,” kata Hodak.
Hodak menyertai Persib pada 2023, menggantikan Luis Milla, yang melepaskan jawatannya ketika kelab jolokan Pangeran Biru itu berada di tempat ke-16.
Di tangan Hodak, Persib perlahan-lahan bangkit sehingga mampu menembusi empat teratas dan mara ke separuh akhir Siri Kejuaraan Liga 1.
Persib terlebih dahulu berjaya menyingkirkan Bali United pada separuh akhir sebelum mengalahkan Madura United pada perlawanan akhir.
JUARA…JUARA…JUARA…
Penantian 10 Tahun, PERSIB BANDUNG JUARA!#persib #persibjuara #bobotoh #liga1 #republikbobotohcom pic.twitter.com/O3zIkpkquU— REPUBLIKBOBOTOHCOM (@republikbobot0h) May 31, 2024
“Saya lihat mereka semua pemain yang bagus, saya tidak tahu apa yang salah dengan ini,” jelas Hodak yang muncul jurulatih asing pertama kelab meraih kejuaraan.
Hodak juga bukan sembarangan jurulatih kerana sudah lama ‘melancong’ di Asia Tenggara khususnya di Malaysia.
Hodak memenangi Liga Super Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dengan tiga kelab berbeza iaitu Kelantan, Johor Darul Ta’zim dan Kuala Lumpur City.
Selain itu, Hodak turut membawa pasukan Phnom Penh Crown menjuarai liga Kemboja.