PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak secara berseloroh berkata dia seakan pelik dengan keadaan pemain Kuala Lumpur City FC yang semuanya sudah kembali dari kecederaan apabila berjaya layak ke final Piala FA.

Namun dia gembira kerana ini adalah berita yang baik buat dia dan pasukan untuk menghadapi Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

“Semua pemain telah kembali dan sejak melayakkan diri ke final, saya pelik kerana semua pemain sudah pulih dari kecederaan dan mahu berada dalam skuad. Namun, ini baik untuk pasukan dan mahu dapatkan suasana positif ketika bertemu Negeri Sembilan dan kerana ianya juga baik untuk kami menjelang final.

“Negeri Sembilan adalah pasukan yang baik dan bekerja keras seperti juga kami dan kami perlu bermain seperti 45 minit pertama ketika bertemu Terengganu dan bukannya ketika 15 minit babak kedua perlawanan itu jika mahu mendapatkan kemenangan,” katanya.

Bojan juga menjelaskan dia kini mempunyai tiga penjaga gol berkualiti yang sedia diturunkan pada bila-bila masa sahaja termasuk Kevin Ray Mendoza yang baru pulih dari kecederaan.

“Kevin semakin baik di dalam latihan dan perlawanan lalu baik untuk tingkatkan keyakinan dia dan saya mempunyai tiga penjaga gol yang cergas dan ianya terpulang pada jurulatih penjaga gol untuk memilih siapa yang bakal diturunkan,” jelasnya.

Pengendali berasal dari Croatia itu juga secara terbuka mengakui bahawa perlawanan pada Sabtu akan menjadi medan pemilihan pemain untuk menghadapi perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim pada 22 Julai nanti.

Sementara itu pengendali Negeri Sembilan FC, K Devan berkata dia perlu menerima hakikat pasukannya hanya mempunyai dua orang pemain import sahaja selepas Safuwan Baharudin kembali ke Selangor dan Casagrande mengalami kecederaan.

“Kami hanya ada dua pemain import yang boleh diturunkan ketika ini iaitu Herold Goulon dan Levy Madinda selepas Safuwan Baharuddin kembali ke pasukan asalnya, Selangor.

“Keadaan ini menyukarkan pasukan untuk menurunkan barisan terbaik ditambah kecederaan yang dialami Shahrel Fikri dan Casagrande. Walaupun kami mahukan kemenangan, tapi harus juga diukur dari segi kekuatan yang boleh kita tampilkan,” katanya.

KL City mahu mencari keputusan positif di laman sendiri keatas Negeri Sembilan bagi membina momentum yang baik sebelum aksi final Piala FA minggu hadapan.