KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak sah meninggalkan kelab warga kota selepas berjaya mencipta legasi sepanjang tiga musim bersama dan memilih Persib Bandung sebagai destinasi baharunya.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad pada satu sidang media khas yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard.
“Kami ingin mengumumkan bahawa Ketua Jurulatih kami akan berpindah ke kelab yang lain di negara yang lain. Ini adalah satu perpisahan yang amat menyedihkan tetapi pada masa yang sama kami mengucapkan terima kasih kepadanya.
TERKINI:
Bojan Hodak akan meninggalkan @KLCityFootball dan bakal ke luar negara. #sampaimatikualalumpur pic.twitter.com/fMMP9eRSWx
— Flash Sukan (@FlashSukan) July 26, 2023
“Pada asalnya Bojan hanya menandatangani kontrak bersama kami selama setahun tetapi setelah kita dapati kita ada sinergi untuk berkerjasama dengan baik, dia telah bersama dengan kita selama tiga tahun dan ianya adalah pencapaian terbaik kelab dalam sejarah sepanjang tiga tahun ini dengan layak ke tiga final,” umum Khalid.
Khalid juga terus mengumumkan pengganti Hodak dengan kelab telah memilih bekas pembantu jurulatih, Nenad Bacina yang akan kembali ke Malaysia dan akan menjawat jawatan Ketua Jurulatih KL City yang baharu berkuatkuasa serta merta.
“Pihak kelab juga telah menentukan pengganti Hodak yang juga rakannya dari Croatia yang telah bersamanya sebelum ini, Nenad Bacina yang kini di Arab Saudi untuk menimba pengalaman.
Dalam sidang media yang sama, Stanley Bernard berkata Bojan menemuinya pada Disember 2022 dan menyatakan hasrat untuk berhijrah namun dia berjaya memujuk hingga sampai ke final Piala FA.
“Sejak Disember tahun lalu, dia sudah berjumpa saya dan kata, inilah masanya tetapi kami masih bekerja hingga kini dan selepas sampai ke final Piala FA, ianya adalah satu perjalanan yang baik dengan tiga final dibawah kepimpinannya.
“Dia pernah menerima tawaran dari Lion City Sailors di Singapura selepas memenangi Piala Malaysia dan sebuah lagi kelab selepas final Piala AFC yang menawarkan pakej gaji yang lebih menarik, tetapi dia tetap kekal.
“Saya berterima kasih kepadanya atas legasi yang ditinggalkan dan keputusan yang dibuat bukan kerana wang tetapi dia tahu dia meninggalkan bilik persalinan kepada tangan yang baik dan tidak akan menggangu keharmonian pemain,” jelasnya.