KEJAYAAN skuad bola jaring remaja kebangsaan muncul juara Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia di Jeonju, Korea Selatan memberikan gambaran bahawa sukan itu berada di landasan tepat untuk menjadi kuasa besar di Asia mahupun di peringkat antarabangsa.

Malaysia muncul juara selepas menewaskan musuh tradisi, Singapura 49-45 dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik sekaligus mengekalkan trofi kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.

Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia, Alwiyah Talib nyata gembira dengan kejayaan ini dan berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan para pemain sepanjang kejohanan ini hingga muncul juara.

“Sangat bangga dengan semua pemain yang menunjukkan permainan yang mantap. Meski Singapura mendahului dalam suku pertama dan kedua, namun mereka bangkit untuk terus mendahului hingga membawa kemenangan 49- 45.

“Saya juga sangat yakin dengan latihan berterusan dan program-program pembangunan bola jaring yang dirancang, bola jaring Malaysia akan pergi lebih jauh di peringkat Asia dan dunia,” katanya di Jeonju selepas dihubungi FLASH SUKAN.

Kejayaan ini turut mendapat perhatian Penaung DiRaja Persatuan Bola Jaring Negeri Johor, Che Puan Khaleeda Bustamam yang mengucapkan tahniah di laman sosial peribadinya dan Alwiyah menyifatkan penglibatan Che Puan Khaleeda sentiasa memberikan semangat kepada pasukan.

“YAM Che Puan sentiasa memberi semangat kepada semua pemain-pemain negara untuk terus mempamerkan semangat juang yang tinggi buat bola jaring Malaysia,” tambahnya.

Kejayaan ini juga menyaksikan skuad negara berjaya menempah tempat ke Kejohanan Dunia Remaja Asia 2025 yang bakal berlangsung di Gibraltar dan ini adalah hasil kerja keras dan sokongan daripada semua pihak yang terlibat dengan sukan bola jaring ini.