SKUAD bola jaring kebangsaan akan menghadapi satu perlawanan penting apabila turun menentang tuan rumah, Singapura pada separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 pada Sabtu.
Ini kerana hanya kemenangan akan menjamin tempat Malaysia ke Piala Dunia Bola Jaring Cape Town 2023 dengan Singapura bukanlah calang-calang pasukan yang juga mahu merebut slot ke Afrika Selatan itu.
Ketika perlawanan pusingan kedua pada Khamis, skuad kebangsaan tewas 56-43 kepada lawan yang sama namun ramai beranggapan skuad kendalian Lisa Ann Beehaq ini sengaja menyimpan kuku dan tenaga.
Skuad kebangsaan pada kejohanan kali ini menyaksikan campuran pemain senior dan junior dengan beberapa formasi diuji oleh barisan kejurulatihan bagi mendapatkan tujuh pemain terbaik untuk peringkat separuh akhir nanti.
Berkongsi pendapat mengenai perlawanan separuh akhir bersama FLASH SUKAN adalah bekas pemain kebangsaan dan ketua pasukan Johor Jewels, Pow Mei Foong yang mahukan pemain junior untuk lebih yakin ketika beraksi bagi memastikan Malaysia layak ke Piala Dunia.
Selain itu, Mei Foong juga mahukan para pemain senior dan junior untuk memantapkan keserasian bagi memastikan mereka lebih memahami satu sama lain di dalam gelanggang.
“Esok (hari ini) pastinya satu perlawanan yang sukar kerana seperti yang kita tahu pasukan kita mempunyai pemain junior yang berani untuk ke hadapan begitu juga dengan Singapura yang mempunyai banyak muka baru.
“Pemain-pemain junior negara kini berada di landasan terbaik dan mereka hanya perlu lebih yakin terhadap diri mereka bagi mengadaptasi beberapa situasi yang mungkin terjadi dalam perlawanan.
“Bukan hanya pemain junior malah pemain senior juga perlu menyesuaikan diri dengan pemain junior bagi memastikan lebih keserasian di dalam gelanggang,” kata Mei Foong.
Malaysia, juara Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 kini perlu memastikan kemenangan ke atas Singapura untuk layak ke final sekaligus layak ke Piala Dunia.