KETUA Jurulatih Bola Keranjang Wanita Kebangsaan, Tracy York menegaskan benar wujud usaha untuk mengambil beberapa pemain naturalisasi berpotensi diserapkan ke dalam pasukan.
Namun, ianya memerlukan proses yang panjang kerana melibatkan masa dan juga urusan dokumen pengenalan yang agak merumitkan.
“Ya, sudah tentu kita mahu. Ia adalah pelan untuk jangka masa panjang. Kita masih mencuba. Buat masa ini kita ada mengenalpasti beberapa pemain naturalisasi yang baik namun ia agak sukar kerana ia melibatkan urusan passport dan tentunya mengambil masa. Ketika ini, saya fokus kepada pemain yang kita ada terlebih dahulu,” katanya.
Menurutnya, skuad bola keranjang wanita kebangsaan mempunyai kekurangan dari sudut saiz badan pemain berbanding negara Asia Tenggara lain.
Justeru, Tracy yakin jika kehadiran pemain naturalisasi menjadi kenyataan, Malaysia mampu bersaing dengan kuasa bola keranjang yang lain kerana memiliki struktur tubuh badan yang hampir serupa.
“Jika kita ada masa dan membawa pemain naturalisasi yang tepat, untuk kami, kita perlukan saiz. Jika kita ambil contoh Indonesia, mereka mempunyai pemain naturalisasi dan mendapat keputusan yang baik,” ujarnya.
Sementara itu, Tracy menjangkakan cabaran getir bakal hadir dari tiga buah negara iaitu Filipina, Indonesia dan Thailand kerana mereka turut menggunakan khidmat pemain naturalisasi.
Bagaimanapun, dia yakin pada kemampuan anak buahnya untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat tanpa mengira warna buat skuad bola keranjang wanita kebangsaan.
“Filipina agak sukar bagi kita, mereka adalah pemenang pingat emas pada edisi lalu. Indonesia, Thailand turut mempunyai beberapa pemain naturalisasi yang baik dan kesemuanya sangat sukar bagi kami.
“Semua pasukan pastinya menjadi semakin baik. Kita hanya akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan pingat buat pasukan kebangsaan,” jelasnya.
Pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, skuad bola sepak keranjang wanita hanya berjaya meraih pingat gangsa manakala johan menjadi milik Filipina.
Kehadiran Tracy York memegang jawatan sebagai ketua jurulatih bola keranjang wanita menggantikan B. Guganeswaran pada bulan Julai 2022 diharapkan terus memberi sinar kepada skuad bola keranjang wanita kebangsaan yang kali terakhir merangkul emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.