KURANG sebulan lagi sebelum kempen Piala Asia 2023 di Qatar membuka tirainya, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan jenama sukan terkemuka Kelme telah memperkenalkan bola rasmi sempena piala berprestij yang akan bermula pada 12 Januari 2024.
Bola rasmi yang dinamakan sebagai VORTEXAC23+ telah disaluti warna emas dan warna itu di inspirasikan dari pasir negara tuan rumah sendiri yang bergabung dengan keunikan warna ‘maroon’ sebagai simbol tradisional negara tersebut.
Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor John telah meluahkan kegembiraan daripada pihak AFC kerana mencapai satu kejayaan baharu dengan merasmikan bola Piala Asia bersama rakan strategiknya, Kelme.
“VORTEXAC23+ telah dilancarkan hasil usaha oleh Kelme juga, dan kami berterima kasih kepada mereka di atas sokongan berterusan kepada bola sepak Asia.
“Dalam masa yang sama, kami juga yakin bahawa kita akan menjadi saksi kepada edisi Piala Asia yang paling mega setakat ini, sejurus melihat reka bentuk VORTEXAC23+ yang memukau secara visual dan pastinya ia mengikut standard kualiti yang diinginkan.
“VORTEXAC23+ juga bakal mentafsirkan hasrat kami bagi mempersiapkan dua pasukan hebat di Asia untuk bersaing di pentas berprestij demi mencapai kegemilangan buat julung kalinya,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Kelme, Ke Yongxiang turut menyambut baik kenyataan dan ucapan terima kasih oleh pihak AFC atas tanda jalinan kolaborasi yang baik.
“Saya juga ingin mengingatkan bahawa pendedahan mengenai bola rasmi ini telah menandakan persediaan ke Piala Asia AFC Qatar 2023 semakin hampir ke garisan penamat.
“Kami gembira dapat menggalas peranan penting dalam piala berprestij yang cukup bersejarah ini, di mana reka bentuk dan teknologi inovatif KELME akan menjadi tumpuan utama.
“Dengan penuh keterujaan, kami akan terus menanti perlawanan akhir yang bakal berlangsung tidak lama lagi, di mana kami akan turut menyaksikan VORTEXAC23+ beraksi,” katanya.
Sebagai tambahan, VORTEXAC23+ direka khas secara eksklusifnya oleh Penyokong Global Rasmi AFC, Pertandingan Pasukan Kebangsaan dan Kelme untuk Perlawanan Akhir Piala Asia Qatar 2023.
Bola ini juga telah menjalani ujian teknikal yang meluas untuk memastikan ia memenuhi standard prestasi, kualiti, ketahanan, dan persiapan tertinggi untuk digunakan dalam pertandingan.