KETUA Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim menjelaskan beliau tidak hanya memandang bola sepak dalam skop permainan dan keputusan sahaja sebaliknya secara keseluruhan terutama mengenai masa depan bola sepak negara.
Bekas pengendali yang pernah berkelana di Jerman itu juga mahu penyokong-penyokong kelab memberikan sedikit masa kerana mereka masih diperingkat pembentukan skuad dengan rata-rata pemain adalah pemain muda yang masih memerlukan didikan dan pengalaman.
“Saya memilih pemain muda bukan kerana mereka mudah dibentuk tetapi kerana saya melihat bola sepak lebih daripada perlawanan sahaja.
“Saya lakukan demi masa depan kerana jika pemain muda tidak diberikan peluang bermain, bagaimanapun pasukan kebangsaan kita hendak maju.
“Ini adalah masalah kepada dunia bola sepak bukan sahaja di Malaysia tetapi telah melanda beberapa negara Eropah seperti England, Itali dan Jerman dan saya tidak mahu perkara seperti ini berulang kerana kepentingan sebagai jurulatih adalah secara keseluruhan dan bukannya keputusan perlawanan sahaja
“Saya juga melihat kepada persembahan individu dengan keputusan perlawanan sama ada menang atau kalah jatuh ke tangga kedua.
“Setakat ini para pemain menunjukkan persembahan individu yang baik dan saya tidak mempunyai masalah tentangnya cuma ada beberapa perkara yang perlu para pemain sesuaikan diri,” kongsinya ketika sidang media pra perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan pada Jumaat.
Teong Kim, 59, mahukan Perak FC memperagakan aksi yang memuaskan hati para penyokong dengan tidak memandang keputusan perlawanan sebagai perkara utama.
“Perak FC akan bermain dengan corak permainan yang menarik kerana kami mahu menghiburkan para penyokong. Ini kerana mereka menuntut aksi yang baik dari setiap pemain dan pemain perlu berikan mereka kepuasan dengan permainan yang menarik.
“Tidak apa jika kalah selepas memberikan aksi yang menarik kerana penyokong akan gembira dan akan datang semula ke stadium untuk memberikan sokongan.
“Sudah tentu saya mahukan kemenangan dengan permainan yang cantik tetapi kepuasan untuk menghiburkan penyokong itu lebih penting.
“Kami masih perlukan masa dan semua kena ingat JDT juga dahulu diperingkat awal juga bergelut. Didikan dan latihan yang diperlukan para pemain untuk membantu perkembangan bola sepak mereka.
“Bola sepak kini adalah profesional dan saya mahu para pemain mengambil serius kerana kita sudah berada di landasan yang betul dan kini hanya menunggu keputusan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Teong Kim turut berpuas hati dengan barisan kejurulatihan yang membantunya terutama dengan kehadiran V. Saravanan yang membawa pulang kepakaran dari Finland dan statusnya sebagai legenda bola sepak Perak juga membantu menaikkan semangat pemain ketika latihan.
Perak FC akan bertemu Kuala Lumpur City FC untuk merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu dengan para penyokong boleh menyaksikan perlawanan ini dengan harga serendah RM 1 dan bersedia untuk dihiburkan aksi menarik kedua-dua pasukan.