INDUSTRI bola sepak dianggap platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan dua hala negara khususnya dalam penjenamaan, komersial dan pemasaran yang mana ia mengambil hakikat bahawa bola sepak ialah ejen penyatuan dan sukan nombor satu di kebanyakan negara.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang berkunjung ke Jepun sempena Ulang Tahun ke-20 Persekutuan Bolasepak Asia Timur (EAFF) di Tokyo, mengambil kesempatan berjumpa dengan presiden-presiden negara bola sepak Asia Timur antaranya Naib Presiden Persatuan Bolasepak China yang juga Presiden EAFF, Du Zhaocai; Presiden Persatuan Bolasepak Jepun, Kohzo Tashima; Presiden Persatuan Bolasepak Korea Chung Mong-gyu; Presiden Bolasepak Guam, Valentino San Gil; Presiden Persekutuan Bolasepak Mongolia, Ganbaatar Amgalanbaatar; Presiden Persekutuan Bolasepak Filipina, Mariano Araneta Jr. dan Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi, Yasser Al Misehal.
“Pertemuan ini saya adakan secara berasingan dan berbentuk individu, ia dilihat mampu memperkukuhkan lagi hubungan keluarga bola sepak antara negara berkenaan dengan Malaysia terutama dalam bertukar pendapat mengenai pertandingan, perkembangan pemain dan pasukan kebangsaan negara masing-masing,” katanya yang juga hadir di Jepun bagi menyantuni undangan EAFF sempena Ulangtahun ke-20 Persekutuan itu dan menyaksikan perlawanan kejohanan Final EAFF E-1.
Hamidin hadir di perlawanan kejohanan Final EAFF E-1 Wanita yang menyaksikan Jepun muncul juara kejohanan selepas seri 0-0 dengan China pada 26 Julai di Stadium Kashima (Jepun mengumpul tujuh mata mendahului China dengan dua mata), sebelum ke Stadium Toyota pada 27Julai untuk kategori lelaki yang menyaksikan Jepun menewaskan Republik Korea 3-0.
Mengambil contoh perlawanan kejohanan Final EAFF E-1, Hamidin berkata, nilai komersial perlawanan ini terbukti berada di tahap yang istimewa kerana dihadiri oleh negara yang bukan dari Asia Timur.
Dalam pada itu, Hamidin juga mengambil peluang bertemu dan berbincang dengan wakil dan pegawai teknikal FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang turut hadir di Jepun mengenai bola sepak semasa.
Hamidin menamatkan lawatan undangan enam hari di Jepun bermula 24 Julai, dengan menyifatkan hubungan erat antara negara bola sepak Asia serta Asia Timur penting dalam memupuk perpaduan terutama dalam menghadapi cabaran yang tidak menentu ketika ini.