KAPTEN skuad Lion City Sailors, Hariss Harun bukan sahaja cemerlang dalam kariernya sebagai pemain bola sepak di peringkat kelab dan negara tetapi juga kini adalah seorang perunding hartanah yang meningkat naik di Singapura.
Walaupun mempunyai karier yang gemilang, namun Hariss sentiasa memikirkan tentang masa depannya terutama selepas bersara dari bola sepak suatu hari nanti dengan menyertai agensi PropNex sebagai perunding hartanah.
Bercakap kepada FLASH SUKAN di Singapura, Hariss menyatakan banyak perkara dalam bola sepak mengajarnya untuk menjadi perunding yang lebih baik dari pelbagai sudut dan dia gembira dengan perkembangan terbaharu dirinya.
“Dalam bidang hartanah, kesabaran menjadi kunci utama terutama apabila melibatkan perundingan dengan pelanggan atau prospek dan banyak perkara dalam bola sepak mengajar saya untuk berdepan situasi sebegini.
“Sepanjang 17 tahun saya bermain bola sepak, ia banyak mengajar saya terutama dari sudut untuk tidak putus asa dan kemampuan untuk bekerja dalam satu pasukan dan semestinya bola sepak banyak beri saya kelebihan sebagai ejen hartanah kini,” katanya.
Sejak mengumumkan dirinya menjadi perunding hartanah pada September 2023, Hariss tidak menoleh kebelakang dan dia diumumkan sebagai ‘Gold Achiever’ dengan komisyen lima angka Januari lalu dan Hariss sangat berbangga dengan kejayaan ini.
Dia juga menggunakan laman sosial peribadinya untuk mempromosikan khidmatnya dengan pelbagai jenis unit kediaman ditawarkan olehnya kepada mana-mana prospek di seluruh Singapura.
Dalam temubual yang sama, Hariss turut gembira dapat meraikan Syawal bersama-sama keluarga tersayang di Singapura dan bersyukur dapat melakukan persiapan secara sederhana tetapi masih meriah.