Oleh Mohd Fariq

DI sebalik penonjolan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang kadangkala dianggap sesetengah pihak sebagai bersifat kenegerian sejak kemunculannya dalam arena tempatan pada 2013, rasa cinta beliau kepada bola sepak negara tetap terserlah.

Beberapa cadangan yang TMJ kemukakan dalam temu bual eksklusif pengacara Nindia Astro Arena, Hafizal Hamad, Isnin lalu, menampakkan bahawa pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyayangi bola sepak Malaysia.

Selain mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memberi geran bagi menambah elaun latihan pemain, TMJ meminta agar jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon, tidak terlepas pandang beberapa pemain JDT, khususnya Nathaniel Shio Hong Wan, Afiq Fazail dan Feroz Baharuddin dalam membentuk teras barisannya menjelang pusingan akhir Piala Asia AFC 2024.

Tindakan TMJ menaja padang jenis Zeon Zoysia untuk Stadium Nasional, Bukit Jalil, juga satu manifestasi cinta beliau terhadap pasukan kebangsaan.

Temubual eksklusif Tunku Ismail bersama Astro Arena secara langsung pada Isnin malam. Foto: Astro Arena

Cadangan TMJ agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengeluarkan peruntukan khas untuk menampung elaun Harimau Malaya bukanlah sesuatu yang melampaui batas.

Sebagai wakil negara dalam sukan No 1 dunia, bola sepak wajar diberi perhatian khusus. Tidak salah untuk memberi peruntukan khas bagi pemain negara yang mengharumkan nama negara serta sukan berpasukan yang ada aura crowd-puller.

Selain badminton dan hoki, tidak banyak sukan mempunyai daya tarikan sebesar bola sepak.

Hanya bola sepak boleh mengajak hampir 100,000 penonton menyuarakan sokongan di stadium.

TMJ turut menyatakan sukan lain tidak harus cemburu kerana bola sepak istimewa di hati peminat.

Andai Kerajaan Persekutuan sudi meneruskan sumbangan tajaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), maka beban kewangan yang ditanggung oleh badan induk tempatan itu untuk menampung kos latihan, penganjuran perlawanan dan gaji panel kejurulatihan serta elaun pemain, boleh diringankan.

Tidak ramai menyedari pembiayaan paling tinggi yang ditanggung oleh FAM secara tahunan ialah kos perbelanjaan untuk 25 pasukan kebangsaan, termasuk bola sepak, futsal dan bola sepak Pantai dalam pelbagai peringkat umur yang berada di bawah naungan FAM.

Dengan purata perbelajaan RM20 juta setahun serta kos sara hidup yang meningkat serta pertukaran mata wang asing yang tidak memihak kepada Malaysia, FAM berdepan kos besar untuk pasukan yang diwajibkan bertanding dalam kejohanan anjuran Persekutuan Bolasepak Asean (AFF), AFC dan FIFA sejajar usaha memastikan pembangunan elit terancang terlaksana selain memastikan Malaysia berada di landasan betul untuk menaiki ranking.

Menjelang mana-mana kejohanan, pasukan kebangsaan lazimnya menjalani latihan pendedahan, sama ada di lokasi tempatan atau luar negara, mengikut keutamaan dan kesesuaian. Perbelanjaan untuk setiap pasukan (lazimnya 25 pemain dan 5 jurulatih dan pegawai pasukan) merangkumi penginapan, makan minum, pengangkutan dalaman dan tiket penerbangan, kos sewaan gelanggang latihan dan peralatan serta kelengkapan dan elaun latihan.

Apa sahaja bentuk tajaan atau geran daripada Kerajaan akan meringankan beban kewangan FAM.

Dalam menyatakan keprihatinannya terhadap perkembangan pasukan kebangsaan, TMJ memohon agar Pan Gon mempertimbangkan menyenaraikan Syahmi, Feroz, Shahrul Saad, Afiq Fazail dan Hong Wan bagi memperkuatkan pasukan.

Feroz disifatkan sebagai pemain pertahanan yang bakal menjadi kapten JDT satu hari nanti, manakala Syahmi dan Afiq didedahkan kepada kaedah latihan dan perlawanan berintensiti tinggi yang memudahkan mereka menangani standard antarabangsa.

Sambil menyorot bahawa Akhyar Rashid jarang beraksi dengan JDT tetapi menyerlah untuk Harimau Malaya, TMJ menekankan bahawa pemilihan pemain tidak harus berteraskan favouritism atau pilih kasih.

TMJ turut menafikan dakwaan kononnya beliau campur tangan pemilihan kesebelasan pasukan negara tetapi beliau akan mengemukakan beberapa kemusykilan kepada Pan Gon terhadap pemilihannya.

Kenyataan TMJ yang mengajak semua kelab untuk menubuhkan akademi sendiri adalah wajar disebabkan itulah kilang melahir dan mengasah bakat tempatan.

Ketika ini, hanya JDT dan Terengganu FC memiliki struktur akademi selain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang diurus dan dibiayai Kerajaan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan diperkasakan oleh pusat-pusat latihan daerah dan akademi Tunas yang berteraskan sekolah-sekolah.

Maka itu wujud kelompongan disebabkan struktur pembangunan kelab tidak lengkap dan masih bergantung kepada struktur sekolah rendah dan menengah untuk dijadikan asas kepada piramid di bawah AMD.

TMJ turut menyarankan semua peraturan Financial Fair Play yang terkandung dalam syarat-syarat MFL dikuatkuasa agar kelab yang bersaing dalam Liga Super berbelanja mengikut kemampuan. Inilah rahsia kelangsungan pasukan yang mengukur baju di badan sendiri, malangnya peraturan ini tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.

Menyentuh saingan semi-pro iaitu Liga MBSB yang juga saingan M3, TMJ menganggap masih ada jurang luas di antara kelab yang bertanding dengan pasukan sedia ada dalam Liga Super.

Keprihatinan TMJ terhadap perkembangan bola sepak tempatan, termasuk pembangunan akar umbi, kelangsungan hidup untuk kelab, perkembangan Harimau Malaya dan kaedah tadbir urus bola sepak tempatan menggambarkan cinta mendalam TMJ terhadap bola sepak negara.

Ini bukanlah satu dongeng.