KETIKA ramai menyangka bola sepak wanita kebangsaan akan dibelasah teruk Vietnam pada temasya Sukan SEA Kemboja, sebaliknya keputusan positif berjaya dilakar.
Walaupun mencatatkan kekalahan, semangat juang dipamerkan pemain negara mendapat reaksi bagus daripada ketua jurulatihnya, Soleen Al-Zoubi.
“Seperti dijangka, mereka tampil aksi yang sempurna dan menunjukkan pengalaman walaupun kita turun dengan pemain yang pertama kali bermain di stadium.
“Bahkan, mereka menunjukkan semangat melawan yang baik. Menjelang perlawanan kedua, kami perlu perbaiki lagi kelemahan siap sedia bertemu lawan,” katanya selepas perlawanan di Stadium Army, Phnom Penh.
Pada perlawanan itu, pintu gawang yang dikawal ketat oleh Ezza Ashikin hanya bolos tiga jaringan di babak pertama.
Warga Jordan itu percaya permainan ditunjukkan pemain muda adalah yang terbaik dan bakal pergi lebih jauh pada masa hadapan.
“Hanya keputusan tak menyebelahi pasukan. Kami memang jangka gol itu. Malangnya, gol datang daripada kesilapan individu khususnya pada 15 minit yang pertama.
“Keseluruhan permainan seperti keputusan separuh masa kedua lebih baik. Paling utama, saya nak pemain bangga dengan diri sendiri. Semangat seperti ini kita mahukan.
“Lepas ini saya nak pemain lebih memperkasakan mental kerana untuk pertemuan seterusnya, kami akan mengusahakan kemahiran individu pemain,” ujarnya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN : Malayan Tigress bermula langkah kiri di Phnom Penh