KEMENANGAN ke atas Myanmar dan Vietnam diperlukan bagi memastikan skuad bola tampar lelaki kebangsaan mara ke separuh akhir Sukan SEA Kemboja, selepas mereka tewas pada perlawanan pertama menentang Thailand pada Rabu.
Berdepan skuad ranking ke-65 dunia itu, pemain negara cuba melakukan kejutan namun tewas 20-25, 17-25, 20-25 dalam aksi berlangsung di Stadium Tertutup Olimpik Phnom Penh.
Kapten Sim Jian Qin berkata, sememangnya diakui Thailand sebuah power house dalam bola tampar Asia Tenggara, namun kurang bernasib baik dalam memberi cabaran kepada lawan dalam aksi kumpulan B itu.
“Bukan memberi alasan tetapi persediaan kita menguji gelanggang juga tidak teratur, terganggu kerana masalah pengurusan perjalanan ke gelanggang dan sebagainya.
“Tapi perlawanan pertama ini, saya harap tidak menyebabkan pemain terlalu kecewa kerana Thailand, kita tahu sebuah pasukan yang kuat,” kata Jian Qin, selepas perlawanan.
Justeru, pertemuan menentang Myanmar esok diharap menjadi kebangkitan buat skuad negara menebus maruah dan menghidupkan peluang untuk melangkah ke separuh akhir.
Katanya, peluang untuk mara ke pusingan separuh akhir masih lagi terbuka tetapi dengan syarat pasukan perlu meraih dua kemenangan pada aksi menentang Myanmar dan Vietnam pada baki peringkat kumpulan B nanti.
“Mengenai saingan yang berlangsung, saya anggap sikap gemuruh rakan sepasukan dalam menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sedikit sebanyak menjejaskan fokus untuk melakar kejutan.
“Kita tidak beraksi dengan baik pada set pertama tetapi berusaha untuk bangkit pada set ketiga. Saya ingat kita boleh menang pada set terakhir tetapi rezeki tidak memihak kali ini.
“Namun tidak mengapa, kita masih ada lagi dua perlawanan yang perlu ditempuh dan harap keputusan menentang Myanmar esok berakhir dengan positif untuk menaikkan moral pasukan,” katanya.