KEMBALINYA Litar Pasir Gudang semestinya menjadi satu petanda positif bagi industri sukan permotoran di Malaysia. Dengan kewujudan semula litar tersebut, ia bukan sahaja akan menjadi ‘tonik’ dan daya tarikan kepada peminat sukan permotoran tempatan, malah juga dari luar negara.
Perkara ini turut dibincangkan oleh Presiden Motorsports Association of Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir yang memberi signal positif terhadap kewujudan semula Litar Pasir Gudang yang difahamkan menjadi pangkalan buat pasukan Johor Motorsports Racing (JMR).
Menurut beliau, litar yang bakal hidup semula sejak dibina pada era 80-an lalu akan menjadi ‘magnet’ atau daya tarikan peminat-peminat sukan permotoran tempatan, mahupun dari luar negara.
Berikutan sambutan yang luar biasa daripada penyokong, Mokhzani menyatakan hasratnya untuk mengadakan satu kejuaraan ‘Malaysia Championship’, dengan akan menjelajah negeri-negeri yang memberi kemudahan litar.
“Selain litar di Johor, kalau boleh satu di Kedah dan satu di Sarawak juga sudah terasa lengkap. Kita boleh adakan Malaysia Championship sendiri di dimana kita tahu setiap litar ini berlainan.
“Ia akan mendatangkan cabaran berbeza buat pelumba-pelumba dua roda mahupun empat roda kerana mereka sekarang sudah cekap dan bijak memahami trek di Sepang.
“Jadi, adanya litar-litar lain, ia akan memberi satu persaingan dan cabaran yang lebih besar buat pelumba, sekali gus menambah pengalaman buat mereka,” ujar beliau ketika ditemui di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad.
Dalam masa yang sama, Mokhzani turut mendedahkan bahawa pengumuman mengenai progres terkini Litar Pasir Gudang mungkin akan diumumkan oleh pihak Istana pada masa akan datang.
Beliau hanya mengharapkan agar kerja-kerja penambahbaikan litar itu berjalan dengar lancar supaya ia akan kembali aktif dan boleh diguna pakai oleh JMR, juga pihak lain.