GERAN Padanan Sukan (GPS) boleh dimohon tetapi bersedialah untuk disenarai hitam jika gagal menyediakan dokumen lengkap penggunaannya.

Amaran itu dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada mana-mana persatuan yang memohon tanpa menyediakan segala dokumen lengkap.

Perkara itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengakui, jika ada persatuan yang memohon tetapi tidak menyediakan dokumen lengkap bagi tujuan pembayaran, tindakan bakal diambil kerana ia memberi kesan kepada persatuan lain yang ingin membuat permohonan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tersenyum namun tegas dalam penggunaan geran padanan sukan.

“Jika ada persatuan yang tidak membuat (penyerahan dokumen) selepas menjalankan program apa semua, saya hendak menyenarai hitamkan mereka,” katanya, selepas  menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang pasukan Team MAS Tigers semalam.

Tambah Hannah, segala maklum balas daripada persatuan mengenai GPS, mereka akan kumpul untuk penambah baikan bagi tahun 2024.

“Sebenarnya peruntukan untuk mereka yang memohon kita akan letak ke tepi, tetapi jika program mereka batal dan tidak maklum awal kita boleh gunakan peruntukan mereka kepada persatuan lain.

“Kita akan lihat sebab-sebab mengapa mereka tidak menghantar (dokumen) dan mengambil tindakan bersesuaian. Peruntukan untuk tahun ini kalau boleh perlu diselesaikan, saya sudah maklumkan kepada pasukan dan minta Ketua Setiausaha untuk selesaikan cepat.

“GPS ini membabitkan dua pihak persatuan dan kita (KBS), jadi kalau mereka melengahkan untuk menghantar dokumen dan program batal, kita tidak akan bayar,” katanya.

Menteri belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang pasukan Team MAS Tigers, semalam. 

KBS menerima kira-kira 900 permohonan GPS dan 100 daripadanya sudah dibayar kepada persatuan yang memohon, malah beberapa hari lalu mereka turut membuka kaunter pada Hari Terbuka KBS bagi menguruskan proses pembayaran.

“Persatuan yang membuat permohonan diminta menyediakan dokumen lengkap untuk kita membuat pembayaran. Kami mengambil inisiatif untuk membuka kaunter bagi menyenangkan persatuan yang membawa dokumen bagi tujuan menyelesaikan pembayaran,” tambahnya.