ATLET boling padang kebangsaan, Muhammad Idham Amin Ramlan mengesahkan bahawa faktor permukaan padang adalah antara perkara yang mendorong sesuatu kemenangan ataupun kekalahan seseorang yang bermain sukan berkenaan.

Pemenang pingat emas di Kejohanan Boling Padang Asia, Pattaya, Mac lalu itu juga tidak menafikan bahawa Malaysia mempunyai kedua-dua ciri padang, iaitu berkondisi baik (permukaan rata) dan sebaliknya (permukaan tidak rata).

Menurut pemain berusia 24 tahun itu, untuk dijadikan contoh, Australia merupakan salah satu negara yang mencapai standard terbaik dalam arena sukan boling padang sekali gus menjadi sukan yang popular di sana.

“Bagi saya, padang adalah salah satu faktor yang mendorong kepada kemenangan atau kekalahan seseorang yang bermain boling padang. Jika permukaan padang itu rata dan cantik, kita boleh agak jarak bola yang kita baling dengan mudah.

Idham ketika ditemui di Bukit Kiara pada petang Ahad.

“Contoh di Malaysia, tidak dinafikan sesetengah sudah cantik dan okay, sesetengah yang lain masih belum berada di tahap terbaik,” ujar Idham ketika ditemui FLASH SUKAN.

Idham kini sedang giat menjalani latihan di tempat kelahirannya, Terengganu demi mengekalkan prestasinya dari semasa ke semasa untuk menghadapi saingan Kejohanan Boling Padang Dunia ‘Junior’ Championship pada Disember nanti.

Oleh itu, dia menyatakan rasa syukur kerana Persatuan Boling Padang Kuala Lumpur kerap menjalankan kejohanan pada setiap bulan, dimana dapat memberi peluang untuk dia jadikan kejohanan tersebut sebagai persiapan dalam mengasah lagi kemahiran sedia ada.

“Saya kini bekerja di Terengganu dan saya sering berlatih di padang Gong Badak. Tambah lagi, kejohanan yang kerap dianjurkan oleh Boling Padang KL ini serba sedikit membantu saya untuk mengekalkan prestasi semasa. Saingan di KL juga cukup hebat kerana meliputi setiap kategori, dewasa dan warga emas yang masih aktif dalam sukan ini,” menurut Idham.