ATLET boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple terkejut dan tidak menyangka bahawa dia mampu menduduki ranking No.1  dunia.

Dia menyifatkan kejayaan itu sebagai satu penghormatan besar buat dirinya dan mengucapkan terima kasih kepada jurulatih dan pihak Persatuan Boling Padang Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan penuh kepadanya.

“Saya amat terkejut apabila diberitahu mengenai kedudukan No.1 dunia ini. Saya tidak pernah menyangka akan mencapai tahap ini, namun ia adalah hasil kerja keras dan dedikasi berterusan dalam setiap kejohanan

“Sudah tentu, dengan status sebagai pemain No.1 dunia, tekanan akan sentiasa ada. Selepas ini, semua orang menjangkakan saya akan memberikan prestasi yang konsisten.

“Namun, saya akan cuba fokus pada permainan saya dan memastikan saya tidak terlalu memikirkan kedudukan ini sehingga menjejaskan prestasi di atas padang,” katanya.

Izzat juga berharap dengan pencapaian ini, ia mampu untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk menceburi sukan boling padang dan menjadikannya sebagai platform untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Setiap atlet pasti ada impian, dan bagi saya, pencapaian ini membuktikan tiada yang mustahil jika kita terus berusaha dan tidak mudah berputus asa. Saya berharap lebih ramai atlet negara akan menyinar di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Minggu lalu, dua atlet boling padang negara mengejutkan komuniti boling padang di pentas antarabangsa selepas Izzat Shameer Dzulkeple berada di kedudukan No.1 dunia manakala Nor Farah Ain Abdullah berada di ranking kedua dunia.

Berdasarkan kemaskini ranking terbaharu yang dikeluarkan worldbowlsseries.com, Izzat Shameer berada di kedudukan teratas dengan 822 mata meninggalkan Stewart Anderson dari Scotland di tempat kedua (797) dan ketiga, Aaron Sheriff dari Australia (781).

Nor Farah pula berada di kedudukan No.2 dunia dengan 645 mata di belakang atlet Australia, Kelsey Cottrell yang mengumpul 676 mata manakala Tayla Bruce dari New Zealand di tempat ketiga (608).

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian Izzat yang disifatkannya sebagai satu pencapaian luar biasa.