ANUGERAH Sukan Negara (ASN) 2023 telah berlangsung pada Khamis dan menyaksikan jaguh angkat berat negara, Bonnie Bunyau Gustin tampil menerima anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2023.

Pemain berusia 25 tahun itu berjaya menjangkaui kehebatan atlet para lain dan dipilih menjadi Olahragawan Kebangsaan selepas memenangi pingat emas di Kejohanan Angkat Berat Para Dunia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ogos tahun lalu.

Atlet kelahiran Sarawak itu juga berjaya memperbaharui rekod baharu dunia, dengan angkatan berat 231 kilogram (kg) selain memecahkan rekod temasya Para Asia, seberat 230kg.

Rekod manis Bonnie adalah dia pernah diangkat sebagai atlet para terbaik dunia tahun 2021 setelah menang emas acara powerlifting di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, sekali gus disenaraikan dalam atlet para lelaki terbaik 2021 oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

Bonnie berjaya meraih gelaran Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2023.

Sementara itu, tidak lupa juga untuk gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan yang dimenangi oleh atlet para berbasikal, Nur Suraiya Muhammad Zamri-Farina Shahwati Mohd Adnan (jurumudi) yang telah mengharumkan nama negara tahun lalu.

Nur Suraiya dan jurumudi telah menampilkan aksi cemerlang di Sukan Para Asia Hangzhou 2023, sekali gus menghadiahkan pingat emas buat negara dalam prestasi terbaik ujian masa 1,000 meter (m) kategori wanita B.

Kejayaan Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2023 ini pastinya menjadi pemangkin semangat buat kedua-kedua para pemenang, malah juga menjadi tonik semangat buat atlet-atlet lain untuk menonjolkan aksi terbaik pada tahun ini.