JAGUH paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin mencipta rekod dunia baharu dengan angkatan 232 kilogram (kg) dalam acara powerlifting dalam kelas 72kg di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Kejayaan itu menyaksikan Bonnie menghadiahkan pingat emas kedua buat kontinjen negara di temasya terbesar dunia empat tahun sekali itu.

Bonnie yang turun selaku pemegang rekod dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) , mendahului saingan sejak daripada angkatan pertama dengan dia bermula dengan angkatan 221, 226, 232kg.

Atlet kelahiran Sarawak yang berusia 25 tahun itu tidak berdepan dengan saingan sengit untuk melakar rekod baharu di Porte de La Chapelle Arena.

“Saya gembira apabila dapat mengekalkan status sebagai pemenang pingat emas Paralimpik dan lebih baik lagi apabila mencipta rekod dunia baharu di sini.

“Terima kasih kepada mereka yang sentiasa memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Sementara itu, atlet dari China, Hu Peng merangkul pingat perak dengan angkatan 214kg manakala gangsa dimenangi Donato Telesca, Itali (213kg).

Bonnie sebelum ini pernah mencipta sensasi apabila meraih gelaran juara dunia pada 2019, 2021 dan 2023, malah turut cemerlang menyumbang emas kepada Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Kejayaan Bonnie ini juga menyaksikan Malaysia kini berjaya mengumpul dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa keseluruhannya.