SEKIRANYA negara memiliki dua beregu lelaki beraksi di Olimpik Paris, tentunya mencipta peluang yang baik buat negara mencapai kejayaan besar di temasya itu, namun berdasarkan ranking semasa, amat sukar untuk merealisasikannya.
Bagi pemenang pingat perak Kejohanan Dunia Paris 2010, Tan Boon Heong, sememangnya memiliki dua pasangan di Olimpik menjadi impian setiap negara.
“Jika dua pair (di Olimpik) memang peluang baik untuk merebut medal tetapi peluang beregu lelaki kita kali ini agak sukar untuk mendapatkan dua gandingan dalam Top 8, amat sukar.
“Tetapi kita harapkan mereka boleh dapatkan keputusan yang baik tahun hadapan,” kata Boon Heong, yang ditemui di Lotus, Kepong, selepas tamat Kejohanan Akademi Badminton TBH 2023.
Ketika in, Aaron Chia berada di ranking ketiga dunia, di belakang gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dan pasangan India Satwiksairaj Rankireddy, manakala gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di kedudukan ke-12 dunia.
Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula di ranking ke-19 dunia dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, ke-26.
Jika disemak melalui perlumbaan ke Paris 2024, Aaron-Wooi Yik di ranking kedua dunia di belakang Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.
Kedudukan kelapan mata kelayakan ke Paris 2024, kini diduduki Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan dengan 67,798 mata.
Manakala gandingan kedua terbaik negara ketika ini, Yew Sin-Ee Yi pula di keududkan ke-11 dengan 58,200 mata manakala Wei Chong-Kai Wun (16) dengan 47,420 mata.
Mengulas mengenai prestasi Aaron-Wooi Yik, beliau menyifatkan gandingan terbabit mempamerkan peningkatan biarpun kurang bernasib baik untuk merangkul lebih banyak gelaran.
Dalam pada itu, Kejohanan Akademi Badminton TBH 2023 mendapat sambutan luar biasa termasuk penyertaan luar negara, iaitu dari China, Thailand dan Australia.
Kejohanan dua hari itu, melibatkan 13 kategori iaitu bawah lapan tahun lelaki dan perempuan, B-10 lelaki dan perempuan, B-12 lelaki dan perempuan, B-14 lelaki dan perempuan, B-16 lelaki dan perempuan, bakat baharu beregu lelaki dan gabungan umur 70 tahun lelaki.