BORUSSIA Dortmund (BVB) akan menguji juara lapan kali berturut-turut Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam siri Jelajah Asia mereka dari 21 November hingga 1 Disember 2022.

Perlawanan persahabatan kelab antarabangsa ini akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 November 2022 dengan ini adalah kunjungan kedua kelab gergasi Jerman ini ke Johor.

Borussia Dortmund dijadualkan bertemu kelab Singapura, Lion City Sailors pada 24 November sebelum ke Iskandar Puteri dan kemudiannya ke Hanoi menentang skuad kebangsaan Vietnam pada 30 November 2022.

 

Kontinjen BVB untuk jelajah ini akan mengambil tempat ketika Piala Dunia Qatar dan akan dibarisi pemain dari pasukan utama dan beberapa pemain muda yang tidak terlibat dengan Piala Dunia.

Selain dari perlawanan, seperti kebiasaannya BVB sudah merancang untuk mengadakan acara bersama peminat tempatan bagi menjadikan jelajah ini lebih bermanfaat buat para pemain serta memberikan mereka pengalaman.

JDT sudah tentu akan menggunakan perlawanan ini sebagai salah satu perlawanan pra-musim mereka serta medan untuk menimba pengalaman berharga sebagai persediaan menghadapi Liga Super dan juga Liga Juara-Juara AFC musim hadapan.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua BVB hadir ke Johor selepas kali terakhir mereka mengadakan perlawanan persahabatan di Stadium Larkin pada 2015 sebagai sebahagian usaha kerjasama antara kedua-dua kelab ketika itu.