KELAB penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) Boys of Straits (BOS) melakukan satu inisiatif baharu iaitu Semarak Subuh sebagai lambang pengukuhan ukhwah sesama komrad selain mengimarahkan masjid di sekitar negeri Johor.

Inisiatif yang akan bermula pada Sabtu bakal mengumpul semua komrad BOS dan sesiapa yang berminat untuk sama-sama menunaikan solat Subuh di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, Johor Bahru.

Tambah menarik, BOS juga menyediakan perkhidmatan bas perantara dari Stadium Larkin ke masjid untuk memudahkan pergerakan para komrad serta menggambarkan ukhwah yang utuh di antara para penyokong.

Inisiatif yang diinspirasikan dari gerakan #SubuhMacamJumaat yang diilhamkan penyanyi, Aliff Satar dijangka akan mendapat sambutan hangat di kalangan penyokong JDT terutama di sekitar Johor Bahru dan kawasan sekitar.

Boys Of Straits menggunakan pengaruh mereka sebagai wakil penyokong JDT untuk sama-sama melaksanakan inisiatif yang baik ini yang boleh memberikan inspirasi kepada anak-anak muda di negeri Johor.

Mereka juga sebelum ini sering melakukan pelbagai inisiatif bercorak keagamaan dan rohaniah seperti bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir, majlis berbuka puasa serta agihan bubur lambuk ketika bulan Ramadan.

Perkara-perkara seperti ini harus dipuji kerana ianya membuktikan para penyokong bukan sahaja bersatu hati memberikan sokongan kepada pasukan di stadium malah turut sama memberatkan saham untuk dibawa ke akhirat.