PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan menerima pelawaan daripada Brazil untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa namun FAM menolak ajakan itu atas permintaan Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon.
Ini selepas negara jiran, Indonesia mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad juara Piala Dunia Fifa Qatar 2022, Argentina yang dijadualkan pada 19 Jun di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta yang menjadi bualan para penyokong bola sepak tempatan.
Malah Hamidin juga menyatakan bahawa dia ada menerima tawaran daripada Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) untuk mengadakan aksi persahabatan namun Pan-gon merasakan mereka bukanlah lawan yang sesuai buat Malaysia saat ini.
“Brazil nak lawan dengan kita tetapi saya kata saya tidak mahu sebab bukan masanya. Kalau kita nak perlawanan begitu saya boleh buat, ini bukan masanya dan Kim Pan-gon juga tidak mahu. Kalau sekadar mahu bermain untuk populariti mungkin orang lain boleh lakukan.
“Malah dari tahun lepas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina dah menjemput Malaysia tetapi Kim Pan-gon tidak mahu kerana dia mahukan pasukan yang lebih realiti,” katanya ketika ditemui dalam sidang media sebuah majlis di ibu negara.
Dalam sidang media yang sama, Hamidin turut menegaskan bahawa dia tidak gembira dengan langkah yang dilakukan FA Yaman apabila mengumumkan pembatalan perlawanan menerusi media sosial terlebih dahulu namun dia gembira kerana Papua New Guinea bersedia menjadi lawan Harimau Malaya pada 20 Jun di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
“Saya perlu jelaskan kita baru sahaja dapat surat itu dari FA Yaman dan mereka meminta maaf. Presiden mereka hubungi saya dan hantar surat tetapi saya beritahu pada Presiden, saya tidak gembira kerana mereka letak dalam media sosial dahulu, sepatutnya dia kena melalui saya atau Setiausaha Agung tentang perkara ini.
“Selepas sahaja berita itu keluar di media sosial, saya terus suruh barisan kejurulatihan untuk mencari solusi lain dengan jalan terbaik adalah Papua New Guinea yang datang dari Singapura dan mereka sahkan untuk ke sini kerana banyak pasukan yang sudah penuh jadual mereka,” tambahnya.
Hamidin juga berkata pembatalan perlawanan dengan Yaman ini tidak dapat dielakkan dan pemilihan Papua New Guinea tidak menggangu persediaan pasukan kerana ianya lebih baik dari tidak ada pasukan langsung yang boleh dijadikan lawan pada kalendar Fifa Jun.
“Ranking Papua New Guinea dengan Yaman juga tidak banyak berbeza dan ianya masih dalam kalendar Fifa daripada kita tidak ada pasukan langsung,” tambahnya.
Harimau Malaya akan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa di Kuala Terengganu dengan bertemu Kepulauan Solomon pada 14 Jun sebelum bertemu Papua New Guinea pada 20 Jun dengan peluang untuk meraih lebih banyak mata dalam ranking Fifa sekiranya mencapai keputusan yang positif.