PEMAIN tengah kebangsaan, Paulo Josue kini dalam fasa menyesuaikan diri dengan taktikal diingini jurulatih Kim Pan-gon.

Ujarnya, tempo intensiti pantas dalam latihan cukup digemari Pan-gon yang menekankan aspek transisi kepantasan hasil gabungan pemain lokal dan pemain yang berlari laju.

“Arif Aiman, Akhyar Rashid, Faisal Halim adalah pemain laju. Jadi saya fikir perlawanan nanti jurulatih akan membuat keputusan,” kata pemain asal Brazil itu.

Endrick boleh memainkan peranan penting di posisi tengah Harimau Malaya.

Ditanya tentang kombinasi bersama Endrick Santos yang juga rakan senegara, Josue menyifatkan ia adalah satu perkara yang amat baik.

“Sangat bagus. Saya boleh memahaminya dengan lebih mudah atas faktor bahasa dan bertutur bahasa Portugis. Dia rakan sebilik di sini.

“Kami tak pernah bermain bersama tetapi saya suka gaya permainan dan kami akan buat yang terbaik untuk pasukan,” katanya tidak melihat dirinya sebagai penyelesaian masalah di bahagian tengah negara.

Sementara itu, kapten  pasukan Kuala Lumpur City FC itu gembira selepas berjaya melengkapkan proses naturalisasi dan mendapat panggilan ke kem latihan pusat di Padang Sri Gelam, Johor Bahru.

Dia juga sedang cuba belajar lagu kebangsaan, Negaraku kerana sepanjang enam tahun menetap di Malaysia mengetahui sebahagian lirik daripada lagu itu.

“Namun, untuk saya menyanyi buat masa ini saya tidak yakin lagi,” katanya.

Skuad Harimau Malaya akan berdepan Turkmenistan aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.