KAPTEN pasukan Selangor FC, Brendan Gan mengakui dia masih belum berada pada tahap kecergasan terbaik namun tetap bersemangat untuk mendapatkan minit perlawanan bagi memastikan konsistensinya bersama pasukan Selangor FC.

Menurut Brendan, ia merupakan tahun yang sukar baginya dan terpaksa mengharungi tekanan emosi dan fizikal sepanjang tempoh rawatan selepas didianogsis mempunyai kanser testis tahun lalu.

“Ia merupakan hari yang sangat beremosi buat saya. Saya tahu hari ini bukan tentang saya, ia adalah tentang pasukan. Kita bermula dengan baik setelah berehat.

“Ia tahun yang penuh berliku buat saya dan keluarga, saya sangat gembira kerana kembali beraksi di padang.

“Saya tahu saya masih belum berada pada tahap yang saya mahukan, tetapi ia bagus untuk mendapatkan minit perlawanan. Saya cuba mendapatkan semula ketajaman dalam pasukan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir bagi memberi sokongan kepada pasukan Selangor FC.

“Saya akan berikan 100 peratus, meskipun ia hanya 60 peratus daripada keupayaan saya, saya akan sentiasa keseluruhan apa yang saya boleh berikan.

“Saya menasihatkan para pemain supaya tidak memikirkan berapa jumlah jaringan yang dapat dihasilkan, siapa yang akan menjaringkan gol, yang penting adalah kita tunjuk persembahan yang baik,” jelasnya kepada media.

Dalam pada itu, Brendan turut mengulas mengenai ketiadaan Ketua Jurulatih Sarawak United FC B. Sathianathan yang dikhabarkan mengalami masalah kesihatan.

“Saya ada menelefon Sathia untuk berkongsi tentang masalah yang dihadapinya tetapi ia terpulang kepada Sathia untuk menjelaskannya kepada umum. Saya rasa semua perlu menyokongnya pada masa ini.

“Dia seorang yang kuat. Dia mendapat sokongan yang padu daripada keluarga dan sekelilingnya, ia terpulang kepada doktor untuk mengesahkan masalah kesihatannya,” jelasnya.

Brendan mengakui dia mempunyai hubungan yang baik dengan jurulatih itu yang selepas Sathia yang mencadangkan agar namanya berada dalam kesebelasan utama Selangor sebelum ini.

Pada perlawanan ini, skuad Michael Feichtenbeiner meraih kemenangan besar 7-0 ke atas Sarawak United FC.