KETUA Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard menganggap kejayaan menandatangani Brendan Gan untuk bersama kelab itu adalah satu perkara yang hebat dan positif buat skuad warga kota itu.
Ini kerana menurutnya, Brendan bukan sahaja hadir sebagai pemain tetapi dia turut membawa dirinya sebagai satu jenama besar yang berlatarkan sikap profesional yang sangat tinggi sekali gus mampu membantu menaikkan semangat rakan-rakan sepasukan.
Pemain Harimau Malaya itu diperkenalkan sebagai rekrut terbaharu KL City menerusi satu hantaran di laman sosial rasmi kelab dan menerusi satu sesi bertemu media ketika latihan rasmi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Isnin.
“Ini adalah satu perkara yang besar buat KL City kerana Brendan adalah pemain yang sangat profesional dan kami bukan sahaja membawa dia masuk sebagai pemain tetapi sebagai jenama dan tahap profesionalisme yang tinggi.
Brendan adalah pemain yang dipandang tinggi oleh semua orang dengan aksi cemerlang bersama kelab dan negara dan saya yakin dia akan cepat menyesuaikan diri dengan pemain-pemain hebat kami yang lain.
Dia juga sudah tentu akan mudah memahami budaya kelab ini yang sentiasa positif dan atas sebab inilah kami berjaya meraih kejayaan seperti apa yang kami lakukan sejak beberapa tahun kebelakangan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Stanley juga menegaskan bahawa kehadiran Brendan dalam pasukan akan menambah nilai kelab serta kestabilan dan dalam masa yang sama akan membantu kelab menjadi sebuah pasukan yang lebih baik.
“Pada saya Brendan juga akan menambah nilai kelab serta kestabilan dalam bilik persalinan dan pasukan serta dia juga dijangka dapat membantu kami mencapai sasaran kami untuk musim 2024-25,” jelasnya.
Para penyokong boleh menjangkakan gandingan hebat antara Brendan dan Paulo Josue mengemudi bahagian tengah yang bakal menjadikan KL City sebagai salah satu pasukan yang perlu diberikan perhatian musim ini.