PEMAIN tengah Kuala Lumpur City FC, Brendan Gan, dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (MVP) selepas membantu pasukannya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Borneo Samarinda FC dalam saingan Kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis malam.
Brendan mengakui kekuatan pasukan Borneo namun menyatakan KL City telah berjaya mengikut strategi yang dirancang dengan baik.
“Borneo adalah pasukan yang hebat, tetapi kami mempunyai pelan permainan dan kami mengikutinya.
“Kami bernasib baik mencipta beberapa peluang, dan akhirnya berjaya menjaringkan satu gol dan kredit kepada semua yang bermain dengan penuh semangat dan jiwa,” katanya selepas perlawanan.
Brendan juga memuji sumbangan pemain gantian seperti Zhafri Yahya dan Sean Giannelli, yang memberi impak besar dalam perlawanan tersebut.
“Zhafri dan Sean adalah pemain yang cemerlang. Mereka merupakan pertukaran yang luar biasa dari bangku simpanan.
“Saya rasa ramai pemain yang layak berada dalam kesebelasan utama, dan ia menunjukkan kualiti yang kami ada di bangku simpanan. Zhafri adalah pemain skuad kebangsaan dan akan terus menjadi pemain kebangsaan. Semua kredit kepadanya kerana mencipta peluang gol itu,” tambahnya.
Mengenai harapan untuk mara ke peringkat seterusnya, Brendan menegaskan mereka akan fokus satu perlawanan pada satu masa.
“Untuk layak ke pusingan seterusnya, kami mengambilnya satu perlawanan demi satu. Kami berada dalam situasi yang sukar, tetapi kami semua berjuang untuk kelab dan satu sama lain.
“Saya rasa anda dapat lihat semangat itu di atas padang. Jadi, kami tidak mahu terlalu melihat jauh ke hadapan, tetapi berharap dapat meneruskan prestasi baik ini bersama KL City,” jelasnya.
Kemenangan ini menyaksikan KL City kini berada di landasan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya, dan Brendan pastinya memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan pasukan.