ARKITEK tengah kebangsaan, Brendan Gan Seng Ling mengakui bahawa stadium yang terdapat di negara kita terutama Stadium Nasional Bukit Jalil adalah merupakan antara stadium terbaik di Malaysia.
Pemain Selangor FC tersebut secara terbuka menjelaskan perkara tersebut di akhir sidang media yang diadakan menjelang aksi menentang Laos malam ini.
“Kita sedar Malaysia mempunyai padang yang baik. Di Stadium Nasional Bukit Jalil, kita dapat saksikan padang yang begitu cantik.
“Ramai pasukan atau pemain yang hadir ke sini memberitahu saya bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan stadium terbaik yang pernah wujud dalam sejarah pembangunan bola sepak Malaysia,” jelasnya.
Biarpun Malaysia masih mempunyai beberapa venue lain terutama di selatan dan timur tanah air yang memiliki fasiliti dan rumput berkualiti tinggi seperti Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin serta Stadium Larkin namun SNBJ tetap di hati Brendan.
Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan antara stadium yang kerap dijadikan venue perlawanan akhir aksi liga tempatan seperti Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.
Malah, ia juga merupakan antara pilihan kerana berdekatan dengan lembah Klang yang memudahkan orang ramai untuk hadir.
Selain itu, Stadium Nasional Bukit Jalil turut dijadikan sebagai gelanggang kejohanan besar peringkat antarabangsa seperti Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric serta beberapa persahabatan antarabangsa bersama kelab-kelab ternama Eropah yang lain.