STATUS Brendan Gan sebagai pemain free agent musim ini terus menarik minat pelbagai pasukan untuk mengambil khidmatnya.

Terbaru, pasukan Kuala Lumpur (KL City) FC juga antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah kebangsaan itu.

Sungguhpun itu, KL City FC masih lagi terpalit dengan masalah gaji walaupun memberi jaminan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyelesaikannya dalam masa yang terdekat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard berkata sememangnya mereka sudah memasang impian untuk mendapatkan pemain tengah itu.

“Kami memang dah pasang impian untuk dapatkan beliau (Brendan) tetapi kami kena realistik.

“Kami kena realistik kerana kewangan kelab kami baru nak stabil semula, masalah yang sedia ada juga akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Saya selalu berbincang dengan pemain saya, mereka mahu bersaing, mereka mahu membawa pasukan untuk melonjak lebih jauh jadi bayangkan jika pengurusan dapat berikan mereka ‘peluru’ yang lebih, saya pasti mereka akan buat yang terbaik,” katanya dalam satu program pada Sabtu.

Selain KL City, Brendan juga dikaitkan dengan pasukan Sri Pahang FC selain pasukan dari Liga Australia juga berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Stanley yang mengumumkan ketua jurulatih baharu KL City untuk musim 2024/25.

Sementara itu, Stanley juga mengesahakan bahawa Miroslav Kuljanac mengemudi pasukan The City Boys untuk musim 2024/25.

Pengendali daripada Croatia itu pernah menjadi jurulatih interim buat pasukan KL City FC pada musim lepas selepas Bojan Hodak meninggalkan pasukan pada pertengahan musim.

Miroslav Kuljanac bakal menggantikan Nenad Bacina yang tinggalkan pasukan itu secara rasmi semalam.