PEMAIN tengah kebangsaan, Brendan Gan mahu dia dan rakan-rakan sepasukannya turun berjuang mencari kemenangan demi negara ketika aksi separuh akhir pertama Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 menentang Thailand pada Sabtu.
Dia juga hanya mahu fokus kepada perkara yang mereka boleh kawal iaitu diri sendiri disamping tidak memandang rendah pasukan lawan yang terkenal dengan kualiti pemain secara individu.
Brendan juga berpuas hati dengan tahap pemulihan dan bersemangat untuk memberikan satu lagi aksi luar biasa sebagai hadiah kepada seluruh penyokong Harimau Malaya.
“Kami menjalani pemulihan dan persediaan yang baik untuk perlawanan ini. Ianya satu lagi perlawanan yang sukar tetapi para pemain sangat teruja untuk bertemu Thailand.
“Semestinya kami mahukan kemenangan. Kami akan turun berjuang demi negara tanpa mengira siapa pun lawan kami dan kami cuba jaringkan seberapa banyak gol yang kami mampu.
“Bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah satu perasaan yang menakjubkan kerana ianya menaikkan bulu roma dan kami berharap dapat memberikan satu lagi malam gemilang buat para penyokong.
“Sukar untuk kita jangkakan peluang ketika bertemu Thailand kerana sentiasa ada taktikal yang berbeza. Mereka mempunyai pemain dengan skil individual yang baik tetapi kami hanya fokus kepada diri kami sendiri dan bukannya kepada mereka kerana ianya lebih mudah mengawal perkara yang mudah dikawal,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Brendan juga mengakui kekuatan yang ada pada pasukan Malaysia kali ini adalah sifat percaya antara satu sama lain dengan setiap pemain membuktikan mereka layak menyarung jersi negara dan berjuang untuk negara dengan memberikan 100 peratus dalam setiap perlawanan.
Malaysia akan turun menentang Thailand di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri dan berharap dapat membawa kelebihan selesa menjelang aksi kedua di Bangkok pada Selasa.