KAPTEN Selangor FC, Brendan Gan terbuka untuk bermain di mana-mana posisi yang dikehendaki jurulatihnya, Tan Cheng Hoe menjelang aksi liga yang dijadualkan bermula 24 Februari ini.

Sebelum ini, Brendan pernah diberikan mandat oleh jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon dengan meletakkan pemain itu beraksi di bahagian pertahanan pada aksi Piala AFF 2022.

Namun, Brendan tidak pernah mengeluh atau menolak arahan tersebut kerana menyedari kesemua arahan yang diberikan jurulatih adalah demi manfaat sesebuah pasukan.

“Saya akan bermain apa sahaja posisi yang diletakkan jurulatih. Tidak kira di bahagian pertahanan tengah, penjaga gol, pemain tengah, penyerang, mahupun di bahagian sayap sekalipun.

“Saya akan bermain di mana posisi yang diarahkan kepada saya. Segala-galanya demi membantu pasukan pergi lebih jauh,” ujarnya.

Tambah Brendan, sukan bola sepak adalah sukan berpasukan dan bukanlah hanya berpaksikan kepada sesetengah individu, maka semua pemain mempunyai tanggungjawab besar melunaskan tugas mereka.

“Seperti yang saya katakan sekali lagi, ia bukanlah sukan individu, bola sepak adalah sukan berpasukan. Kita harus membantu satu-sama lain dalam pasukan untuk mencapai kejayaan musim ini.

“Kita harap musim ini, kita dapat menjalankan tugas kita dengan baik. Sebagai individu, saya mahukan kejayaan kepada pasukan,” jelas Brendan.