PENYERANG PDRM FC, Bruno Suzuki mengakui dia merasa dirinya lebih disayangi rakyat Malaysia selepas membuat keputusan memeluk Islam apabila menerima banyak ucapan tahniah di media sosial.

Bruno selamat mengucapkan dua kalimah syahadah dalam satu majlis ringkas di Masjid Pulapol bersaksikan pegawai atasan PDRM pada Rabu dan dia menjelaskan dia tidak mempunyai nama Muslim yang spesifik.

“Saya sudah lama merancang memeluk Islam sejak saya tinggal di Malaysia dan saya mempunyai perancangan untuk berkahwin dan atas sebab itu saya membuat keputusan ini.

“Saya rasa gembira kerana ramai yang alu-alukan saya dan pertama kali saya rasa begini. Di media sosial juga ramai yang berikan mesej saya ucapkan tahniah dan berikan kata-kata positif kepada saya, saya rasa lebih sebagai satu keluarga Malaysia sekarang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Bruno turut mengulas mengenai perlawanan pada Khamis dengan menganggap pertukaran tempo yang dilakukan Selangor memerangkap mereka yang ketika itu sedang mempertahankan kedudukan 1-0.

Namun dia masih optimis mereka masih belum terkeluar dari saingan dan mampu memberikan kejutan meskipun sedar tugasan yang menanti bukanlah mudah.

“Saya rasa selepas mereka lakukan pertukaran tempo, mereka lebih pantas dan kita tak dapat ikut tetapi kami masih berpeluang pada perlawanan kedua walaupun sedar bukan mudah untuk menjaringkan tiga gol,” jelasnya.

Bruno juga mengakui kehadiran Hadi Fayyadh dalam pasukan berjaya membantu menajamkan lagi serangan pasukan selain mengurangkan bebannya untuk menjaringkan gol.